Isnin, 15 April 2019 | 8:33am
Klopp puji jaringan Salah yang dianggap menjadi kunci Liverpool mencapai impiannya. - Foto Reuters

Klopp puji gol Salah

LIVERPOOL: Jurgen Klopp memuji jaringan Mohamed Salah yang dianggap menjadi kunci Liverpool mencapai impiannya sekali gus meletakkan The Reds di tangga teratas liga selepas menewaskan Chelsea 2-0, di Anfield, malam tadi.

Barisan Klopp sebelum itu ketinggalan di tangga kedua selama dua jam apabila seteru utama mereka, Manchester City mengatasi Crystal Palace 3-1 dan terus menghangatkan perebutan gelaran liga berkenaan.

Namun Liverpool bangkit menerusi jaringan Sadio Mane lima minit selepas rehat sebelum Salah menambah gol dua minit kemudian.

"Ia adalah jaringan menakjubkan daripada Mo. Saya dapat melihat beberapa jaringan terbaik,” kata Klopp.

"Penyudah yang sangat bagus, jaringan terbaik, dia sangat bijak.


Jaringan Sadio Mane lima minit selepas rehat. - Foto EPA

"Saya sangat bangga dengan pasukan ini. Ia prestasi yang sangat hebat. Saya bertuah dapat bersama dalam skuad ini.”

Dalam pada itu, City beraksi kurang satu perlawanan berbanding Liverpool yang berbaki empat perlawanan sebelum pemenang sebenar dapat ditentukan.

Namun suasana di Anfield dapat merasakan betapa Liverpool kian hampir menamatkan penantian 29 tahun untuk dijulang sebagai Raja bola sepak Inggeris musim ini.

Klopp dilihat memiliki sedikit kelebihan apabila City bakal melayan pasukan kuat dengan menentang Tottenham dan Manchester United pada baki saingan mereka.

Liverpool pula bakal berdepan pasukan yang boleh meningkatkan peluang apabila melayan Cardiff, Huddersfield dan Newcastle sebelum bertemu Wolves di Anfield.

"Persoalan pertama yang timbul daripada perlawanan hari ini ialah berapa jaringan City? Kamu tidak boleh mengelak daripadanya,” kata Klopp.

"Kami jangkakan mereka akan memenangi semua baki perlawanan begitu juga dengan kita, kami perlu mengutip sebanyak mana mata yang boleh.

"Jika kami muncul juara, ia pasti hebat, tetapi tidak tidak berjaya, kami masih sebuah pasukan yang bagus.”

Kekalahan Chelsea pula sesuatu yang sukar ditelan apabila buruan mereka ke Liga Juara-Juara belum terjamin andainya tergelincir ke tangga kelima sekiranya Arsenal menang di Watford awal pagi nanti.

Begitupun bos Chelsea, Maurizio Sarri tidak gembira dengan keputusan berkenaan terutama keputusan pengadil yang membenarkan gol pertama yang dianggap satu kesilapan selepas Emerson dikasari.

"Saya rasa tahap Liga Perdana Inggeris ini adalah yang terbaik di dunia tetapi tidak bagi pengadilnya.

"Kami bertahan selama 50 minit. Ia bukan kerja mudah tetapi kami perlu berjuang sehingga tamat (untuk kekal di tangga keempat).

Dalam perlawanan itu juga, penyokong di Anfield bertafakur seminit bagi mengingati kematian bekas kapten Liverpool, Tommy Smith dan ulang tahun ke-30 tragedi Hillsborough yang meragut 96 nyawa penyokong Liverpool.

Kemenangan itu juga memadamkan memori buruk apabila Steven Gerrard tergelincir pada 2014 sekali gus menyaksikan Chelsea menang dan membantu Manchester City muncul juara musim berkenaan. - AFP

2881 dibaca
Berita Harian X