Ahad, 14 April 2019 | 11:33pm
PEMAIN Manchester City, Raheem Sterling beraksi dalam perlawanan menentang Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris di Selhurst Park, malam tadi. - Foto Reuters

Dua gol Sterling julang Man City

LONDON: Penyerang Manchester City, Raheem Sterling meledak dua gol ketika penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu menewaskan Crystal Palace 3-1 di Selhurst Park, malam tadi.

Kemenangan menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola itu merampas kedudukan teratas liga sekali gus menambah tekanan buat pencabar utama, Liverpool.

Selepas mengharungi 33 perlawanan, City mengumpul 83 mata, kelebihan satu mata mengatasi Liverpool sekali pun kelab dari Merseyside itu boleh merampas kembali kedudukan itu jika meraih kemenangan ke atas pasukan tangga ketiga, Chelsea pada aksi lebih lewat.

Terlepas beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol di awal permainan, Sterling meletakkan City di depan pada minit ke-15 apabila bijak melakukan larian bagi menyambar hantaran sempurna Kevin De Bruyne.

PEMAIN Manchester City, Raheem Sterling menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris di Selhurst Park, malam tadi. - Foto Reuters

Pemain kebangsaan England itu menambah gol kedua peribadinya yang juga jaringan ke-17 liga musim ini selepas rehat selepas menyambar bola hantaran Leroy Sane bagi memastikan penjaga gol Palace, Vicente Guaita tewas buat kali kedua.

Palace begitupun memastikan perlawanan berlangsung penuh mendebarkan apabila merapatkan jurang menerusi sepakan percuma berbaki sembilan minit perlawanan.

Tuan rumah memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti selepas pemain tengah, James McArthur dijatuhkan Ilkay Gundogan dengan kapten Palace, Luka Milivojevic menyempurnakan jaringan berkenaan.

City begitupun mengesahkan kemenangan dengan menyumbat gol ketiga apabila hantaran De Bruyne gagal dihalang pertahanan Palace, Aaron Wan-Bissaka untuk penyerang gantian, Gabriel Jesus melengkapkan jaringan.

Gol berkenaan begitupun sedikit kontroversi selepas rakaman video menunjukkan Jesus sudah berada dalam keadaan ofsaid. - Reuters

 

 

Berita Harian X