Sabtu, 13 April 2019 | 7:50pm
PEMAIN Pahang, Dickson Nwakaeme (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. - Foto Asyraf Hamzah

Tok Gajah tagih ketajaman Nwakaeme, Ze Love

KUANTAN: Dua penyerang import, Dickson Nwakaeme dan Jose Eduardo atau Ze Love dituntut tampil lebih berbisa di depan gawang apabila Pahang bertemu PKNS FC dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, esok.

Ia berikutan keputusan seri 1-1 bertemu PJ City FC pada 7 April lalu yang ternyata memberi kesan terhadap kemampuan skuad itu untuk memintas Johor Darul Ta'zim (JDT) selaku pendahulu liga ketika ini.

Justeru pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang mahu gandingan penyerang dari Nigeria dan Brazil itu mampu merobek gawang skuad Semut Merah.  

"Empat gol daripada Nwakaeme manakala Eduardo yang sudah menjaringkan tiga gol membuktikan bahawa sentuhan gol daripada mereka amat ditagih untuk memastikan pasukan beroleh kemenangan.  

"Begitu juga persefahaman dan sokongan daripada semua pemain berada pada tahap terbaik, sekali gus kembali merekodkan kemenangan," katanya.  

Pada perlawanan malam esok, Mohammed Suffian mengesahkan bahawa pemain tengah, Nor Azam Azih yang sebelum ini tidak beraksi akibat kecederaan dijangka kembali memperkasakan skuad Tok Gajah.  

Katanya, kembalinya Nor Azam diyakini membantu jentera tengah bersama Safuwan Baharudin, Mohamadou Sumareh dan Saddil Ramdani untuk memberi tekanan kepada skuad Datuk K Rajagobal.

"Selepas gagal mengutip tiga mata di laman sendiri minggu lalu, saya mengharapkan disiplin dan komitmen pemain akan lebih bagus untuk menyekat tuan rumah.  

"Namun, pemain tidak boleh memandang mudah kemampuan pemain PKNS biarpun mereka berada di tangga kelima kerana hanya dibezakan enam mata dengan Pahang," katanya.

Berita Harian X