Khamis, 11 April 2019 | 1:16pm
Pemain Barcelona, Luis Suarez (kiri) berebut bola dengan pemain pertahanan Manchester United, Chris Smalling dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto EPA

United 'atasi' Barca sekalipun tewas - Smalling

MANCHESTER: Pertahanan Manchester United, Chris Smalling berpuas hati dengan kemampuan Red Devils ‘mengekang’ Barcelona di Old Trafford sekali pun pasukannya tewas 1-0 pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Gol sendiri Luke Shaw pada minit ke-12 permainan bermakna United akan menempuh satu lagi tugasan menggunung di gelanggang lawan, Nou Camp bagi aksi kedua, minggu depan.

United sebelum ini mencipta antara kebangkitan menakjubkan dalam kejohanan elit di pentas Eropah itu apabila mengatasi defisit kekalahan 2-0 pada aksi pertama peringkat 16 terbaik kepada Paris Saint-Germain untuk menang 3-1 di gelanggang lawan.

“Kami memberikan mereka tekanan yang tinggi dan menjadikannya amat sukar. Agak menyedihkan kami tidak memperoleh gol,” kata Smalling kepada BT Sport.

“Kami memperoleh peluang pada babak pertama di mana kami sentiasa mencetuskan bahaya kepada mereka sebelum kemudian nampak gugup, tetapi selepas babak kedua kami kembali menghambat mereka.

“Seluruh pasukan, kami mengatasi mereka. Saya fikir hanya ada satu aksi menyelamat daripada David de Gea. Kami tahu kami perlu bermain dengan tahap seperti itu, sesuatu yang mereka tidak biasa.” 

Sementara itu, pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer yakin barisan penyerangnya akan tampil lebih berbisa di Nou Camp selepas gagal memberi ancaman kepada penjaga gol Barca Marc-Andre ter Stegen, awal pagi tadi.

“Kami mampu menjaringkan gol, menerusi Rom (Romelu Lukaku) atau Rash (Marcus Rashford) atau siapa saja yang bermain bahawa kami perlu mencipta peluang untuk mereka.

“Kami perlu merebut peluang. Anda perlu lebih cepat di sana. Kami sedar kami tidak mampu mencipta banyak peluang. Kami perlu merebut peluang yang ada.” - AFP

Berita Harian X