Khamis, 11 April 2019 | 11:44am
Kapten Ajax, Matthijz de Ligt (tiga dari kiri) bersaing dengan pemain Juventus Leornardo Bonucci (dua dari kanan) pada aksi perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto EPA

Ajax yakin lakar kejutan

AMSTERDAM: Ajax Amsterdam percaya mereka masih ‘bernyawa’ dalam saingan Liga Juara-Juara sekali pun diikat 1-1 oleh Juventus di gelanggang sendiri pada aksi suku akhir pertama, awal pagi tadi.

Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo meletakkan juara Itali itu mendahului pada babak pertama sebelum David Neres menyamakan kedudukan 30 saat selepas babak kedua bersambung.

“Keputusan seri 1-1 di laman sendiri jelas bukan sesuatu yang kami harapkan, tetapi ia masih keputusan yang baik,” kata jurulatih Ajax, Erik ten Hag. “Kali terakhir kami tewas 2-1 di laman sendiri kepada Real Madrid, jadi kami masih berpeluang.”

Ajax menyingkirkan penyandang juara, Real di peringkat 16 terbaik selepas melakar kemenangan 4-1 di gelanggang lawan dan kelab Belanda itu memburu satu lagi kejutan di Turin, minggu depan.

“Kami mempunyai pasukan yang berpotensi tinggi dan kami menunjukkannya di Liga Juara-Juara. Kami tidak berada di suku akhir tanpa sebarang sebab,” kata kapten Ajax, Matthijs de Ligt.

“Pada aksi timbal balik nanti kami perlu memberikan segala-galanya kerana Juventus jelas pasukan yang amat kuat.”

Sementara itu, Ten Hag turut memuji persembahan yang ditampilkan anak buahnya sekali pun Ajax tidak mencipta begitu banyak peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

“Dalam perlawanan itu, kami lebih baik di pelbagai sudut,” katanya. “Kami baik ketika persiapan sebelum menyerang. Juventus mendapati amat sukar untuk mereka memberikan tekanan kepada kami kerana kami mengawal bola, kami sabar dan mencipta peluang.”

Begitupun, dia mengakui pelawat sentiasa berbahaya dalam perlawanan itu selepas diketuai penyerang berusia 34 tahun, Ronaldo yang menjaringkan gol ke-125 di Liga Juara-Juara pada aksi berkenaan. - AFP

480 dibaca
Berita Harian X