Khamis, 11 April 2019 | 10:38am
Pertahanan Barcelona, Gerard Piqe (kiri) menghalang penyerang Manchester United, Marcus Rashford pada aksi kedua peringkat suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP

Pique puji benteng Barca

MANCHESTER: Pertahanan Barcelona, Gerard Pique bangga dengan kemampuan gergasi Catalan itu menewaskan Manchester United 1-0 di Old Trafford, awal pagi tadi sekali gus membawa kelebihan menjelang aksi kedua peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Gol sendiri Luke Shaw berpunca tandukan Luis Suarez memberikan Barca kemenangan pertama di gelanggang keramat United itu dalam lima percubaan sebelum ini.

“Amat sukar untuk datang ke sini, gelanggang yang bersejarah, ada suasana yang sensasi dan ia memberi kamu banyak tekanan, jadi amat sukar untuk menang di sini,” kata Pique.

“Pada separuh masa pertama, mereka benar-benar memberikan kamu tekanan tetapi kami berjaya mengawalnya dan mengambil peluang untuk menjaringkan gol.

“Pada babak kedua, mereka meningkatkan lagi tekanan dan kami terpaksa bertahan dan melakukan serangan balas, jadi ia perlawanan yang adil.”

United melakukan lebih banyak cubaan berbanding pendahulu La Liga itu tetapi mereka gagal melakukan sebarang cubaan tepat ke gawang dengan Pique dinamakan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan susulan kerja kerasnya bagi memastikan Marc-Andre ter Stegen tidak diuji.

“Kami menampilkan persembahan yang cemerlang semasa bertahan, kami berada di prestasi terbaik kami di bahagian pertahanan musim ini,” kata Pique.

“Gol awal menenangkan kami dan kami tahu bagaimana untuk menangani situasi ini malah dengan tidak melepaskan gol, ia banyak membantu kami.”

Barca gagal untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara sejak 2015 tetapi kunjungan United ke Nou Camp cukup getir kerana ia adalah gelanggang yang menyaksikan juara Sepanyol itu tidak pernah kalah dalam 30 aksi elit di peringkat Eropah. - REUTERS

Berita Harian X