Khamis, 11 April 2019 | 8:43am
Gelagat penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo yang meraikan jaringan golnya ketika menentang Ajax Amsterdam, awal pagi tadi. - Foto AFP

Allegri label Ronaldo 'luar biasa'

AMSTERDAM: Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri memuji Cristiano Ronaldo berada di kelas tersendiri selepas penyerang bintangnya itu meledak gol berharga untuk mengikat Ajax seri 1-1 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Ronaldo meletakkan Juventus di mendahului pada separuh masa pertama dengan melakukan tandukan untuk menambah rekod jaringan dalam kejohanan elit itu kepada 125.

Begitupun, pemain sayap Brazil, David Neres menyamakan kedudukan seminit selepas babak kedua bersambung untuk mengikat perlawanan menjelang perlawanan timbal balik di Turin minggu hadapan.

“Sekali lagi Ronaldo membuktikan dia berada di tahap yang berbeza. Pergerakan dan kebijaksanaannya menghidu masa adalah berbeza dengan pemain lain, tidak ada apa yang anda boleh lakukan tentang itu,” kata Allegri kepada Sky Sport Italia.

Selepas jaringan itu, Ajax menambah tekanan di Arena Johan Cruyff, dengan membuat beberapa percubaan sebelum Douglas Costa membuat percubaan yang hampir menggandakan kelebihan buat Juve tetapi ia terkena palang.


Reaksi jurulatih Juventus Massimiliano Allegri ketika pasukannya menentang Ajax Amsterdam pada perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP

Ajax yang memiliki deretan pemain berkualiti antaranya Frenkie De Jong melakar keputusan mengagumkan di peringkat 16 terakhir apabila meraih kemenangan 2-1 di laman sendiri menentang Real Madrid sebelum menewaskan lawan sama 4-1 di Santiago Bernabeu sekali gus menyingkirkan penyandang juara itu.

Justeru, Allegri mengakui skuad kendaliannya perlu berada di prestasi terbaik pada aksi kedua di gelanggang sendiri. 

“Ia adalah keputusan yang bagus kerana kami menjaringkan gol di tempat lawan tetapi permainan masih terbuka,” kata Allegri.

“Kami mempunyai pertahanan yang bagus, pasukan adalah baik dan kompak, ada banyak sebab yang baik untuk difikirkan kami boleh ke separuh akhir.

“Kami tidak bimbang, kami menghormati Ajax tetapi anda perlu bersedia.” – AFP

 

 

Berita Harian X