Khamis, 11 April 2019 | 8:33am
Reaksi pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer ketika pasukan bimbingannya menentang Barcelona pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Tewaskan Barca lagi susah dari PSG - Solskjaer

MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United berdepan tugasan lebih sukar bagi mengatasi defisit kekalahan 1-0 pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Barcelona, awal pagi tadi berbanding menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) di peringkat 16 terbaik.

United muncul pasukan pertama mengatasi kekalahan 2-0 pada aksi pertama di gelanggang sendiri untuk mara ke peringkat suku akhir menerusi kemenangan 3-1 di Paris, bulan lalu.

Tetapi jurulatih United, yang menjaringkan gol kemenangan popular bagi menjulang United memenangi trofi Liga Juara-Juara di Nou Camp pada 1999 percaya sejarah lebih hebat dimiliki Barca di peringkat Eropah membuatkan juara Sepanyol itu berbeza berbanding PSG.

“Sudah tentu persembahan kami di PSG memberikan harapan dan kepercayaan yang kami boleh melakukannya, tetapi kami sedar yang kami mungkin menentang pasukan pilihan dalam kejohanan ini,” kata Solskjaer.

“Ia akan menjadi kejayaan yang lebih besar dengan memenanginya jika berdasarkan sejarah dimiliki Barcelona. Mereka tidak biasa tewas di gelanggang sendiri.”

Jaringan sendiri pertahanan United, Luke Shaw di awal permainan memisahkan kedua-dua pasukan dan ia memberi Barca kelebihan untuk mara ke peringkat empat terbaik dalam tempoh empat tahun ketika United gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke gawang.

Kekalahan menyaksikan Red Devils kini gagal untuk menjaringkan gol dan tewas dalam empat daripada enam perlawanan Liga Juara-Juara di gelanggang sendiri.

“Statistik itu tidak menggembirakan, kami tidak boleh memberikan alasan mengapa tidak menjaringkan gol di gelanggang sendiri,” kata Solskjaer.

“Tetapi di tempat lawan, kami menewaskan Juventus, mengalahkan PSG dan kami perlu pergi ke Barcelona dan memenanginya juga.” - AFP

1561 dibaca
Berita Harian X