Rabu, 10 April 2019 | 2:47pm
Tonggak pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk. - Foto EPA

'Jika tak yakin, jangan datang'

LONDON: Tonggak pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk menegaskan mana-mana pemain yang tidak mempunyai keyakinan Reds mampu menjulang dua gelaran, Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara musim ini perlu ‘tinggal di kediaman’ mereka.

Selepas melakar kemenangan 2-0 menentang Porto di gelanggang sendiri dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi, Liverpool hanya dipisahkan daripada empat perlawanan untuk menjulang gelaran Eropah keenam.

Dengan saingan Liga Perdana berbaki lima perlawanan, skuad kendalian Jurgen Klopp menghuni tangga teratas liga dengan kelebihan dua mata tetapi seteru utama, Manchester City memiliki kelebihan satu perlawanan.

Tiada pasukan berjaya menjulang trofi berganda Liga Perdana dan Liga Juara-Juara pada musim yang sama sejak Alex Ferguson mengemudi Manchester United meraih kegemilangan itu pada musim 2007-08.

Sekali pun tekanan kian memuncak bagi Liverpool menamatkan kemarau 29 tahun sejak kali terakhir menjulang gelaran berkenaan, tetapi bagi Van Dijk sejarah tidak mampu mengubah tumpuannya.

“Ia sesuatu yang kami perlu percaya dan lakukan, tetapi jika kamu berfikir mengenainya, sembilan perlawanan?,” kata pertahanan kebangsaan Belanda itu.

“Kamu perlu percaya dan jika tidak, kamu boleh tinggal di rumah selepas ini. Silakan. Kami bermain menentang pasukan yang hebat, keputusan yang baik, tetapi ia belum berakhir. 

“Kami sepatutnya berasa yakin, ia adalah masa yang hebat untuk menjadi pemain Liverpool dan berharap pada baki sembilan perlawanan ini, segala-galanya berjalan lancar. Kami memberikan segala-galanya dan kemudian mendapat rehat yang wajar.”

Laluan Reds selepas ini cukup berliku apabila mereka dijadual bertemu Chelsea dalam saingan Liga Perdana, Ahad ini sebelum membuat kunjungan balas ke Porto pada Khamis minggu depan. - Agensi

Berita Harian X