Rabu, 10 April 2019 | 2:08pm
JURULATIH Juventus, Massimiliano Allegri. - Foto AFP

Allegri tak pandang mudah cabaran Ajax

AMSTREDAM: Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak mengulangi kesilapan hingga memaksa mereka bekerja keras bangkit saat akhir apabila bertemu Ajax di suku akhir pertama awal pagi esok.

Juara Itali itu kalah 0-2 di tangan Atletico Madrid di peringkat 16 terbaik sebelum hatrik Cristiano Ronaldo dalam aksi timbal balas kedua menyelamatkan keadaan sekali gus membantu Juve mara ke suku akhir.

Begitupun, Allegri sedar ancaman yang bakal dihadapi mereka lebih-lebih lagi lawan mereka, Ajax mempamerkan kebangkitan menakjubkan dengan menyingkirkan juara bertahan, Real Madrid 4-1 di gelanggang lawan selepas kalah 1-2 di gelanggang sendiri.

"Ajax adalah pasukan kuat yang menyingkirkan Real Madrid, mereka setaraf dengan Bayern (Munich) dan memiliki teknik permainan hebat,” kata Allegri kepada wartawan menjelang aksi berkenaan.

"Kami perlu lebih tajam, tepat dan bertenaga kerana kami jangkakan pertemuan secara terbuka dan besar kemungkinan ia tidak akan berakhir 0-0.

"Mereka pasukan yang sangat lasak, handal dalam perebutan di udara dan cekap merebut bola, itulah yang akan berlaku dalam perlawanan ini nanti.

“Kami mesti mampu mengawal asakan mereka kerana jika tidak, Ajax akan mula mengganas.

"Ia bukan bermakna mudah bagi kita ketika menewaskan Atletico 3-0, kerana mereka juga bertahan dengan baik, cuma kami jangkakan sukar mengulanginya di sini.

"Kami perlu mara dengan menyumbat gol di tempat lawan. Ajax setakat ini hanya kalah sekali dengan Real Madrid dalam 20 pertembungan di tempat mereka.

"Jika Ajax bermain agresif, kami juga perlu agresif. Kami jangka perlawanan secara terbuka, maka kami perlu lebih bersedia dengan situasi itu.

"Amat penting kami melakukan asakan ke gol mereka terutama melawan pasukan Ajax. Mereka mampu melakukan kejutan dengan serangan bertubi-tubi, itulah sebabnya mereka sangat bahaya.

Mengulas mengenai pemilihan pemain, Allegri berkata masalah kecederaan menghalangnya meletakkan tiga pertahanan di belakang dengan pilihannya ketika ini tertumpu kepada kudrat Sami Khedira dan Rodrigo Bentancur  untuk mengemudi bahagian tengah.

"Kami akan menurunkan sama ada Khedira atau Bentancur di bahagian tengah,” katanya.

"Saya tidak sangka Khedira mampu bermain selama 70 minit ketika menentang Milan Sabtu lalu tetapi dia berjaya melakukannya. Dia membuktikan kehebatannya dan mampu mengawal perlawanan itu.

"Bentancur pula lebih dinamik tetapi kurang pengalaman, tetapi dengan jangkaan pertembungan esok lebih kepada kawalan rapi ke atas setiap pemain, Bentancur mampu melakukan tugasan dengan baik untuk berdepan situasi seperti itu. – Agensi 

Berita Harian X