Rabu, 10 April 2019 | 11:37am
Aksi Jordan Henderson (kiri) dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Porto di Anfield. - Foto Reuters

Klopp tabik Henderson

LIVERPOOL: Jurgen Klopp menghambur pujian terhadap sumbangan Jordan Henderson ketika aksi Liga Juara-Juara menewaskan Porto, awal pagi tadi selepas kapten Liverpool itu tampil dengan satu lagi aksi mengagumkan di bahagian serangan.

Henderson baru-baru ini mendedahkan dia meminta Klopp untuk memberinya lebih kebebasan di kawasan lawan selepas menjaringkan gol mengalahkan Southampton, Jumaat lalu dan ia diulang bertemu Porto menerusi hantaran menarik bagi gol kedua.

"Hendo adalah pemain yang mengagumkan. Dia jelas menggemari posisi itu. Kami tidak menggunakannya di sana selama tiga setengah tahun, minta maaf kerana itu,” kata Klopp.

“Saya lega dia boleh menunjukkannya. Ada begitu banyak persembahan individu yang bagus.”

Pemain tengah England itu sering bermain di posisi tengah bertahan tetapi selepas tanggungjawab itu diambil alih pemain Brazil, Fabinho, dia kini boleh bermain di bahagian lebih depan.

Dan kehadirannya jelas memberikan bantuan terhadap trio serangan Reds, Sadio Mane, Mohamed Salah dan Roberto Firmino bagi mengekalkan tekanan terhadap pertahanan Porto.

Selain Henderson, Klopp juga gembira dengan prestasi Naby Keita yang dianggapnya menampilkan persembahan lengkap untuk kelab itu sejak tiba dari RB Leipzig.

“Naby benar-benar bagus. Dia menjadi semakin baik setiap minit berbanding perlawanan terdahulu dan dia meneruskannya,” kata Klopp yang mengakui berpuas hati dengan kelebihan 2-0 yang dibawa daripada Anfield sebelum berkunjung ke Portugal, minggu depan. - REUTERS

1308 dibaca
Berita Harian X