Rabu, 10 April 2019 | 7:48am
Pemain Tottenham Hotspur, Son Heung-Min (depan) mengawal bola sebelum menjaringkan gol dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Manchester City di London. - Foto AFP
Kane (jersi putih) mengalami kecederaan buku lali pada awal babak kedua. - Foto AFP

Spurs tidak pernah mengalah - Son

LONDON: Son Heung-min memuji semangat juang Tottenham Hotspur yang kehilangan Harry Kane susulan kecederaan sebelum menewaskan Manchester City 1-0 pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di gelanggang sendiri, awal pagi tadi.

Son menjadi wira Spurs apabila dengan tenang meledak gol kemenangan pada babak kedua untuk kelab dari London itu membawa kelebihan menjelang aksi kedua di Manchester.

Ia jelas persembahan yang boleh dibanggakan daripada skuad kendalian Mauricio Pochettino selepas kehilangan khidmat penyerang berbisa, Kane berikutan kecederaan buku lali pada awal babak kedua.

Penjaga gol, Hugo Lloris juga layak mendapat pujian kerana menyelamatkan penalti Sergio Aguero pada babak pertama sekali gus meningkatkan semangat juang pasukannya yang memperoleh gol kemenangan pada minit ke-79.

Hugo Lloris berjaya menyelamatkan sepakan penalti pemain Manchester City, Sergio Aguero. - Foto Reuters

Pemain Manchester City, David Silva (kiri) bertembung dengan penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris dalam aksi di Stadium Hotspur, London. - Foto EPA

“Bukan saya seorang tetapi keseluruhan pasukan, kami tidak pernah mengalah selama 90 minit. Kami berjuang,” kata Son. “Ia perlawanan yang amat sukar dan pada akhirnya, kami lebih baik berbanding mereka.”

Pada aksi pertama Spurs dalam kancah Liga Perdana Inggeris melawan Crystal Palace minggu lalu, Son mencetak namanya sebagai penjaring pertama di gelanggang baharu pasukan, Stadium Tottenham Hotspur dan dia melakukannya sekali lagi di depan 62,062 penonton.

“Saya menggemari stadium ini, menakjubkan untuk bermain di sini. Saya bersyukur dengan peluang untuk bermain di stadium ini,” kata Son yang mengakui dia dan rakan sepasukannya perlu berusaha keras untuk menyingkirkan City pada aksi kedua di Etihad, 18 April ini. - AFP

Berita Harian X