Selasa, 9 April 2019 | 12:57pm
Penyerang Juvuntus, Cristiano Ronaldo.

Ronaldo mungkin disenarai temu Ajax

LONDON: Cristiano Ronaldo berkemungkinan disenaraikan Juventus bagi pertemuan menentang Ajax pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

Bintang sensasi Portugal itu berlatih bersama keseluruhan pasukan ketika sesi latihan, semalam dan dijangka akan menyertai pasukan di Amsterdam.

Mengikut laporan media Itali, Il Corriere della Sera, Ronaldo akan disenarai di bangku simpanan oleh jurulatih, Massimiliano Allegri dan khidmatnya akan ditagih sebagai pemain gantian jika perlawanan di Cruijff Arena tidak berjalan lancar.

Begitupun Tuttosport melaporkan Ronaldo akan disenaraikan dalam kesebelasan utama Old Lady dan kemudian digantikan bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Ronaldo tidak bermain bersama pendahulu Serie A itu sejak melakukan hatrik ketika menewaskan Atletico Madrid pada aksi 16 terbaik Liga Juara-Juara bulan lalu susulan kecederaan yang diperolehnya ketika beraksi bersama skuad kebangsaan.

“Dia (Ronaldo) sentiasa bersedia. Kami yakin dapat menggunakannya di Ajax,” kata Allegri selepas kemenangan 2-1 Juve ke atas AC Milan, Sabtu lalu.

“Dalam perlawanan seperti ini, dia amat teruja dan bersemangat. Memilikinya dalam pasukan memberikan kami kelebihan yang besar.”

Begitupun, gergasi Itali itu dijangka kehilangan khidmat bekas bintang Liverpool, Emre Can selain pertahanan veteran, Giorgio Chiellini bagi aksi di Amsterdam susulan kecederaan.

Tanpa kehadiran Ronaldo, Juventus sudah pun memiliki jentera serangan yang hebat diketuai Mario Mandzukic, Federico Bernardeschi, Paulo Dybala dan penyerang muda Itali, Moise. - Agensi

930 dibaca
Berita Harian X