Isnin, 8 April 2019 | 2:07pm
PENGURUS Barcelona, Ernesto Valverde. - Foto AFP

Valverde sedar ancaman United

LONDON: Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde waspada dengan ancaman Manchester United dari sudut fizikal menjelang pertembungan pertama suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

Gergasi Catalan itu akan membuat kunjungan ke Old Trafford untuk memburu kemenangan pertama di gelanggang keramat berkenaan sebelum mengharungi aksi timbal balik di Nou Camp pada minggu berikutnya.

United menyingkirkan Paris Saint-Germain untuk mara ke peringkat lapan terbaik dengan kemenangan menakjubkan 3-1 di Parc de Princes justeru Valverde tidak akan mengambil mudah kemampuan Red Devils.

“Mereka pasukan yang hebat,” kata Valverde. “Mereka mengharungi perjalanan yang hebat, sekali pun mereka tewas perlawanan terakhir mereka (1-2 menentang Wolves).

“Secara fizikal, mereka amat kuat dan mereka tahu bagaimana untuk memberikan tekanan terhadap pihak lawan. Mereka memiliki pemain yang secara fizikal amat berkuasa, dan mereka juga boleh menjadi amat bahaya secara strategi.”

Pertembungan United melawan Barcelona adalah pertemuan klasik dalam jadual bola sepak di Eropah dengan kedua-dua pasukan pernah 11 kali bertemu sebelum ini dengan kali terakhir adalah pada final Liga Juara-Juara 2011 yang dimenangi Barca.

Justeru, Valverde dan pasukannya bersedia untuk menulis satu lagi babak dalam sejarah permusuhan kedua-duanya.

“Ini adalah perlawanan bola sepak yang klasik di Eropah. Barcelona tidak pernah menang di Old Trafford dan saya percaya saya akan cuba untuk mengubahnya.” - Agensi

937 dibaca
Berita Harian X