Isnin, 8 April 2019 | 2:00pm
PENJAGA gol PKNS FC, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin. - Foto Asyraf Hamzah

Ketangkasan Zarif Irfan musnah hasrat Perak

IPOH: Jika bukan kerana prestasi cemerlang ditunjukkan penjaga gol PKNS FC, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin, Perak harus sudah memperoleh tiga mata di Stadium Perak malam tadi, kata jurulatih Mehmed Durakovic.

Keputusan seri 2-2 itu menyaksikan penyandang juara Piala Malaysia itu kekal sebagai `pakar seri' selepas mencatatkan lima keputusan seri daripada tujuh perlawanan setakat ini.

Bagi Durakovic, pasukan The Bos Gaurus (TBG) itu harus memenangi perlawanan malam tadi sekurang-kurangnya dengan kelebihan dua gol.

Ia termasuk sepakan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-84 yang ditolak keluar Muhammad Zarif Irfan, ketika keadaan kelam kabut di depan gawang lawan yang didakwa sudah melepasi garisan gol.

"Kita tidak nampak (situasi sebenar), jadi tidak boleh pastikan sama ada ia gol atau tidak, hanya pengadil dan pembantu pengadil yang tahu.

"(Bagaimanapun) sudah terlambat (untuk mempertikaikannya) sebab permainan sudah tamat, apapun kita ada banyak peluang untuk memenangi perlawanan ini, tetapi penjaga gol lawan bertindak cemerlang menafikan peluang kami," katanya.

Begitupun, Durakovic tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan terutama dalam mencipta banyak gerakan dan peluang ke arah gawang lawan, hanya nasib tidak memihak kepada mereka.

Beliau tidak kecewa terpaksa berkongsi mata dengan pasukan pelawat tetapi adalah lebih manis jika memperoleh tiga mata.

Dalam pada itu, Durakovic enggan menyalahkan barisan pertahanan di atas dua jaringan dihasilkan PKNS.

"Saya akui sepatutnya dua kali kami patut halang pemain lawan melakukan hantaran tetapi padang basah, agak licin dan gerakan pantas pemain lawan menerusi dua hantaran lintang yang menarik membolehkan gol itu dihasilkan.

"Tetapi, kita berjaya bangkit dan turut menjaringkan dua gol yang cantik, dan sekurang-kurangnya boleh menjaringkan dua gol lagi menerusi Leandro Dos Santos yang terkena palang, selain sepakan Shahrel Fikri yang ditolak keluar.

"Saya tidak boleh minta lebih daripada pemain, mereka telah menunjukkan aksi menakjubkan malam ini (tadi)," katanya.

Berita Harian X