Ahad, 7 April 2019 | 1:51pm
Gambar fail, pemain Manchester United, Paul Pogba (kiri) dihalang pemain Wolverhampton pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, Selasa lalu. - Foto Reuters

Solskjaer pujuk Pogba, De Gea

 

MANCHESTER: Pengendali Manchester United Ole Gunnar Solskjaer bakal sibuk menjelang jendela perpindahan musim panas ini tetapi keutamaannya adalah memastikan dua pemainnya tidak meninggalkan Old Trafford.

United dijangka memperkuatkan bentengnya dengan dua bek tengah baharu dan seorang bek kiri atau kanan, manakala penambahan di barisan tengah juga dalam perancangan.

Namun tugas penting Solskjaer sekarang ialah memastikan Paul Pogba dan David De Gea terus kekal di Old Trafford musim depan.

Laporan di Sepanyol mengatakan Real Madrid bertekad membawa masuk Pogba, 26, dengan pengendalinya Zinedine Zidane dikatakan sudah mula mengatur langkah menarik rakan senegara Perancis itu.

Solskjaer yang sedar akan kemungkinan itu juga dilaporkan sudah berbincang dengan Pogba – yang kontraknya berakhir pada tahun 2021 – dan mengatakan pemain itu tidak akan dilepaskan.

Solskjaer turut memberi mesej sama kepada penjaga gol De Gea yang kontraknya di Old Trafford masih berbaki 15 bulan.

United berharap dapat memeterai perjanjian baharu dengan penjaga gol 28 tahun Sepanyol itu bagi memastikan dia tidak berpindah secara percuma ke pasukan lain menjelang tahun 2020.

Pogba dan De Gea masing-masing memainkan peranan penting dalam kebangkitan United di bawah bimbingan Solskjaer musim ini.

Pogba meledak 11 gol dan membuat sembilan umpanan dalam 28 penampilan Liga Perdana, manakala Neil Etheridge dan Lukasz Fabianski saja penjaga gol yang mengatasi De Gea dalam jumlah menyelamatkan percubaan musim ini. – AGENSI

Berita Harian X