Sabtu, 6 April 2019 | 11:13pm
PEMAIN Terengganu FC, Sanjar Shaakmendov (kiri) dihalang pemain PKNP FC, Al Fateh Mohd Afandi pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Ghazali Kori

Penyu menangis dilaman sendiri

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) menangis di laman sendiri selepas dikejutkan PKNP FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, sebentar tadi.

Kelemahan jentera tengah pasukan TFC yang turun tanpa kehadiran pemain berdarah kacukan, Lee Tuck yang masih cedera jelas merencatkan pergerakan tuan rumah. Malah mungkin ketiadaan 'nakhoda' Irfan Bakti Abu Salim yang berkursus dan digantikan penolong jurulatih, Mohd Nik turut menyumbang.

Terdahulu TFC melakukan percubaan pertama menerusi Kipre Tchetche yang berjaya menggelecek pertahanan lawan dalam kotak penalti pada minit ketujuh, namun sepakannya dapat dihalang penjaga gol, Amar Asyraaf Omar.

Enam minit berselang giliran pelawat melakukan percubaan tepat ke arah kubu tuan rumah menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti M Ganesan yang berjaya ditangkap kemas penjaga gol Wan Azraie Wan Teh.

Seminit selepas itu skuad Penyu mendapat peluang kedua menerusi Khairul Izuan Rosli hasil hantaran Tchetche, tapi pemain itu gagal menterjemahkan dengan jaringan selepas menyepak tinggi bola melepasi palang gol sekali gus terselamat pintu gol PKNP FC.

Ketika permainan babak pertama tampak berkesudahan tanpa jaringan, pelawat dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Zamzaidi Katimin pada minit ke-45 selepas Ahmad Syamim Yahya menjatuhkan Ganesan.

Sepakan yang diambil Giancarlo Rodrigues terus menerjah jaring untuk memimpin perlawanan 1-0.

Bersambung babak kedua skuad PKNP tidak menunggu lama untuk menambah jaringan sekali lagi menerusi Rodrigues yang bijak menyambut hantaran Ganesan dari sebelah kiri pintu gol tuan rumah untuk di depan 2-0.

Skuad Penyu yang bergelut untuk memburu gol menukar strategi dan hasilnya pada minit ke-72 Syamim menebus kesilapannya apabila merembat kencang bola dalam petak penalti untuk merapatkan kedudukan 1-2. Keputusan kekal hingga wisel penamat.

728 dibaca
Berita Harian X