Sabtu, 6 April 2019 | 7:26am
Penyerang Liverpool Mohamed Salah mengawal bola dari pemain Southampton, Ryan Bertrand pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Klopp tidak pernah ragui Salah

SOUTHAMPTON: Jurgen Klopp menegaskan dia tidak pernah meragui kemampuan Mohamed Salah tatkala bintang Mesir itu menamatkan kemarau gol lapan perlawanan untuk menjulang Liverpool ke persada Liga Perdana Inggeris (EPL) semula.

Salah kembali menemui rentak jaringan menerusi gerakan solo ketika Liverpool bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan Southampton 3-1 di St Mary dan memintas Manchester City dengan kelebihan dua mata.

Bagaimanapun, kelebihan masih berpihak kepada City susulan juara bertahan itu bermain kurang satu perlawanan.

Skuad kendalian Klopp hampir tercicir mata penting sebelum Salah muncul penyelamat pada minit ke-80 untuk menghasilkan gol EPL ke-50 dirinya pada musim kedua di Liga Inggeris itu.

"Tanpa ragu-ragu dia adalah pemain hebat yang kami miliki," kata Klopp.

"Ia adalah jaringan ke-50 buatnya untuk Liverpool, satu angka yang hebat. Dia amat konsisten."

Salah dikritik hebat kebelakangan ini kerana dilihat terlalu tamak di depan gol selepas terdesak dengan masalah ketandusan jaringannya.

Begitupun, dia memilih pilihan yang betul kali ini walaupun dengan kehadiran sokongan Roberto Firmino.

DItanya sekiranya dia sedia melorongkan bola kepada rakan sepasukan dari Brazil itu sekiranya perlu, Salah berkata: "Tidak semestinya. Sebagai penyerang anda perlu menjaringkan gol. Saya membuat keputusan untuk melakukan percubaan." – AFP

Berita Harian X