Sabtu, 6 April 2019 | 12:46am
BINTANG Manchester City, Sergio Aguero (kiri) dan bintang Liverpool, Mohamed Salah.

Southampton mampu bikin Liverpool menangis

KOLUM APA KATA EPL

SEPANJANG beberapa minggu ini, Manchester City dan Liverpool saling bergilir selaku pendahulu liga. Dan terakhir pada pertengahan minggu ini yang menyaksikan The Citizens kembali menduduki takhta dengan himpunan 80 mata, mengatasi pesaingnya itu dengan kelebihan satu mata.

Saingan sengit dua gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) ini diramal sehingga ke penghujung musim dengan kedua-duanya sudah pasti tertekan untuk mengutip semaksimum mata ketika aksi berbaki enam lagi.

Tumpuan kedua-dua pasukan ketika ini hanya pada kejuaraan semata-mata selepas mereka sah tidak akan dapat dipintas oleh pasukan lain termasuk Tottenham Hotspur yang menduduki tempat ketiga dan ketinggalan 15 mata di belakang Liverpool.

Melihat kepada jadual minggu ini, hanya Liverpool akan beraksi. Bagi perlawanan ke-33 itu The Reds akan berkunjung ke Stadium St Mary bertemu Southampton, jam 3 pagi hari ini waktu Malaysia. Kemenangan ke atas pasukan di tangga ke-16 itu sudah pasti akan menyaksikan anak buah Jurgen Klopp kembali merampas takhta pendahulu.

Pada pertemuan di Anfield musim ini, Liverpool mudah mengatasi The Saints, 3-0. Namun pada aksi terakhir separuh akhir Piala Liga di St Mary pada 12 Januari 2017, lawannya itu menang 1-0. Mereka kemudian mengulangi keputusan sama ketika aksi kedua di Anfield.

Soalnya, mampukah Liverpool menjinakkan pasukan yang turut diancam penyingkiran itu buat kali kedua musim ini? Ini yang menarik untuk kita saksikan, ketika The Reds dilihat bergelut untuk mengatasi Spurs, 2-1, di laman sendiri minggu lalu.

Penulis percaya pengendali The Saints daripada Austria, Ralph Hasenhüttl ada resepi untuk membuat Liverpool menangis ketika Klopp berharap ayam tambatannya, Mohamed Salah yang kemarau gol lapan aksi kembali menemui sentuhan di St Mary sekali gus menghidupkan terus peluang bergelar juara selepas hampir 30 tahun kempunan trofi EPL.

Sementara itu, City tidak beraksi minggu ini kerana terbabit dalam saingan Piala FA. The Citizens akan berentap menentang Brighton bagi peringkat separuh akhir di Etihad tengah malam ini.

Anak buah Pep Guardiola kini berada di landasan untuk merangkul empat kejuaraan. Sebelumnya, mereka sudah pun memenangi trofi Piala Liga Inggeris. Dua lagi dalam jangkauan adalah trofi EPL dan Liga Juara-Juara.

Sekiranya menang aksi separuh akhir Piala FA, City bakal bertemu sama ada Wolves atau Watford di final nanti. Aksi kedua separuh akhir itu dijadual berlangsung jam 11 malam esok.

Dalam pada itu, perebutan untuk dua lagi slot ke Liga Juara-Juara musim depan turut sengit yang membabitkan Spurs, Arsenal, Chelsea dan Manchester United. Selepas aksi ke-32, Spurs di tempat ketiga dengan himpunan 64 mata, hanya mengatasi Arsenal dan Chelsea dengan satu mata.

The Gunners bagaimanapun memiliki kelebihan satu perlawanan. United pula ketinggalan tiga mata selepas tewas buat kali kedua kepada Wolves pada aksi pertengahan minggu. Minggu ini, hanya Arsenal dan Chelsea bakal beraksi sekali gus memberi peluang mereka untuk menjarakkan kedudukan.

Anak buah Unai Emery akan berkunjung ke Goodison Park bertemu jiran Liverpool iaitu Everton, manakala skuad Maurizio Sarri menyambut kedatangan West Ham. Kedua-dua aksi ini kelihatannya bukan mudah buat dua gergasi EPL berkenaan.

The Gunners dan The Blues masing-masing berpeluang memintas Spurs di tangga ketiga seandainya mampu mengatasi lawan masing-masing esok serta Selasa ini dan sekali gus kekal di posisi itu sehingga seminggu lagi.

Huddersfield dan Fulham pula sudah sah terkeluar dari saingan EPL musim depan, selepas tidak lagi mampu memintas pasukan keempat terbawah liga. Selepas 32 aksi, Huddersfield hanya mampu mengutip 14 mata, manakala Fulham hanya 17 mata selepas 33 aksi. Selamat menonton.

RAMALAN MINGGU INI

Southampton 1 Liverpool 2

Bournemouth 2 Burnley 2

Huddersfield 2 Leicester 2

Newcastle 2 Crystal Palace 1

Everton 1 Arsenal 1

Chelsea 3 West Ham 1

Berita Harian X