Jumaat, 5 April 2019 | 9:04pm
PEMAIN tengah Pahang, Nor Azam Azih. - Foto Osman Adnan

Nor Azam terpaksa lupakan misi bantu Tok Gajah

KUANTAN: Hasrat pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih untuk kembali beraksi bersama skuad itu masih tertangguh berikutan kecederaan lutut kanan masih belum pulih sepenuhnya.

Pemain berusia 24 tahun itu terpaksa melupakan misi membantu Tok Gajah apabila skuad itu melayan kunjungan PJ City FC di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

"Setakat ini, saya hanya menjalani latihan ringan bersama rakan sepasukan dan sudah hampir pasti akan terlepas peluang beraksi dengan PJ City, Ahad ini.

"Oleh itu, fokus utama sekarang ialah untuk memastikan kecederaan ini segera pulih... sebelum ini pun saya sudah terlepas peluang (untuk beraksi) ketika Pahang menewaskan FELDA United FC 3-1 minggu lalu," katanya.

Kecederaan lutut kanan Nor Azam itu dialami ketika bersama skuad Harimau Malaya pada aksi Piala Airmarine 2019 bertemu Singapura.

Nor Azam berharap rakan sepasukan mengekalkan momentum kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan mereka di persada Liga Super.

Katanya, kelebihan beraksi di laman sendiri perlu digunakan sebaik mungkin dan memastikan tiga mata milik skuad Tok Gajah.

Pahang dibimbing Dollah Salleh perlu menang jika mahu mengekalkan takhta liga.

Berita Harian X