Jumaat, 5 April 2019 | 9:00am
ANTOINE Griezmann. - Foto EPA

Griezmann harap pilihan tepat

MADRID: Antoine Griezmann sebelum ini yakin Atletico Madrid menunjukkan peningkatan ketara, tetapi 10 bulan kemudian dia mungkin tertanya-tanya sama ada keputusannya untuk kekal bersama kelab itu tepat atau sebaliknya.

Atletico akan bertandang ke Camp Nou bertemu Barcelona esok, tempat di mana dia mungkin akan berjalan keluar ke padang sebaris dengan Lionel Messi, yang hanya beberapa minggu lagi akan mengesahkan kejuaraan La Liga, mungkin kejuaraan domestik berganda dan mungkin Liga Juara-Juara.

Sebaliknya dia memutuskan untuk kekal di Atletico.

“Atletico melakukan sebaik mungkin untuk memastikan pasukan terus berkembang, ia menakjubkan,” kata Griezmann ketika menolak tawaran Barca Jun lalu. “Saya tidak boleh tahan lagi, saya perlu katakan yang saya mahu kekal.”

Griezmann turut berpeluang berpindah ke Camp Nou setahun lebih awal, pada musim panas 2017, ketika Manchester United yakin pemain Perancis itu menjadi milik mereka sehingga Griezmann menandatangani kontrak baharu bersama Atletico.

“Saya tidak dapat bayangkan musim depan tanpanya kerana dia masih ada kontrak bersama kelab,” kata pengendali Atletico Diego Simeone.

“Antoine akan kekal bersama Atleti, itu pasti,” kata presiden kelab Enrique Cerezo.

Madrid kini ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona, situasi sama yang berlaku musim lalu pada peringkat ini. – AFP

 

1163 dibaca
Berita Harian X