Khamis, 4 April 2019 | 7:02pm

Laluan JDT, Selangor, Kedah berliku, Pahang lega

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Piala FA, Pahang dijangka berdepan laluan lebih mudah untuk mara ke suku akhir kejohanan itu musim ini selepas akan bertemu wakil Liga Perdana, UKM FC di pusingan ketiga.

Skuad Tok Gajah bagaimanapun perlu beraksi di gelanggang lawan dengan aksi pusingan ketiga akan berlangsung pada 16 dan 17 April ini.

Pada undian hari ini, JDT, Kedah dan naib juara musim lalu, Selangor dilihat akan berdepan tugas lebih berat berbanding pasukan lain apabila mereka akan menentang pesaing dalam Liga Super, PKNS FC, PJ City dan FELDA United FC.

Bagaimanapun, kelebihan tampak memihak JDT, Kedah dan Selangor apabila masing-masing akan beraksi di gelanggang sendiri.

Dua wakil liga bawahan, Kelantan United dan Jerantut FA yang turut mendapat kelebihan beraksi sebagai tuan rumah terpaksa mengharungi pertemuan getir apabila diundi menentang Terengganu FC dan Perak.


Pasukan yang bertanding dalam pusingan ketiga Piala FA. - NSTP/Owee Ah Chun

Pulau Pinang dilihat boleh menarik nafas lega apabila mereka akan menentang pasukan tangga tercorot Liga Super, Kuala Lumpur.

Hanya PKNP FC saja masih perlu menunggu lawannya di pusingan ketiga selepas aksi pusingan kedua antara PDRM dan Sarawak dijangka berlangsung minggu depan.

Untuk rekod, aksi PDRM dan Sarawak yang sepatutnya berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa lalu terpaksa ditangguhkan susulan hujan lebat.


Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi (empat dari kiri) pada majlis undian Piala FA pusingan ketiga di Damansara, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun

Berikut adalah keputusan undian Piala FA pusingan ketiga:

• UKM FC mln Pahang

• Selangor mln FELDA United

• PKNP FC mln PDRM/Sarawak

• JDT mln PKNS FC

• Kelantan United mln Terengganu FC

• Jerantut FA mln Perak

• Kedah mln PJ City

• Pulau Pinang mln Kuala Lumpur

1531 dibaca
Berita Harian X