Khamis, 4 April 2019 | 7:52am
STADIUM Tottenham Hotspur. - Foto EPA

Pochettino mahu Spurs setaraf stadium baharu

LONDON: Pengendali Tottenham Mauricio Pochettino mendakwa kelabnya sekarang adalah “pemenang Piala Dunia” daripada segi kemudahan selepas merasmikan stadium baharu mereka dengan menewaskan Crystal Palace 2-0.

Gol-gol babak kedua jaringan Son Heung-min dan Christian Eriksen memastikan Spurs melebarkan deretan kemenangan Liga Perdana Inggeris kepada lima perlawanan berturut-turut dan melonjok semula kedudukan mereka ke tangga ketiga liga yang diisi sementara oleh Arsenal.

Arsenal bermain kurang satu perlawanan tetapi kemenangan itu mengekalkan kelebihan satu mata Spurs ke atas Chelsea di tangga kelima dan melebarkan jurang ke atas Manchester United kepada tiga mata.

PEMAIN Tottenham, Son Heung-min (kanan) diasak pemain Crystal Palace, Martin Kelly pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur, London. - Foto EPA

“Sekarang kita adalah pemenang Piala Dunia daripada segi kemudahan,” kata Pochettino. “Kini stadium sudah ada dan kami perlu setaraf dengannya.”

Tottenham masih belum memenangi sebarang trofi sepanjang lima tahun di bawah kendalian Pochettino, tetapi sering mengatasi jangkaan dengan layak ke Liga Juara-Juara walaupun tampil sebagai pasukan dengan bajet lebih rendah berbanding enam pesaing utama mereka.

Minggu depan juara Inggeris Manchester City akan bertandang ke laman Spurs untuk perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara dan Pochettino mahu anak buahnya memburu kejuaraan itu dalam masa terdekat.

“Kami perlu memikirkan babak baharu, era baharu, bagi memastikan Tottenham adalah pesaing tulen untuk perkara-perkara besar. Dengan padang latihan, stadium baharu ini, anda perlu berfikiran besar.

“Kami perlu tampil seperti kelab besar. Kami perlu menjadi pesaing realistik bagi perkara-perkara besar.” – AFP

PEMAIN Tottenham, Christian Eriksen meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur, London. - Foto EPA

Berita Harian X