Khamis, 4 April 2019 | 12:24am
Pemain PKNS FC, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali (kiri), diasak pemain Melaka United, Mohd Raimi Md Nor (dua, kiri) pada perlawanan Piala FA 2019 di Stadium Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA
Kapten PKNS FC, K. Gurusamy (tengah) meraikan jaring gol menerusi sepakkan penalti bersama rakan pasukan pada perlawanan Piala FA Malaysia 2019 antara PKNS FC menentang Melaka United, di Stadium Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir

PKNS FC singkir MU

SHAH ALAM: PKNS FC menyingkirkan Melaka United (MU) daripada saingan Piala FA musim ini selepas meraih kemenangan 3-2 pada aksi pusingan kedua di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Anak buah Datuk K Rajagobal membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti K Gurusamy pada minit ke-43 selepas Kpah Sherman dijatuhkan pertahanan MU, Jang Suk-won.

Pelawat cuba bangkit memburu jaringan dengan beberapa gerakan berbahaya terutama pada babak kedua dan peluang terbaik mereka muncul pada minit ke-46 menerusi percubaan Casagrande yang menggegar tiang gol PKNS.

Ketika skuad kendalian Zainal Abidin Hassan rancak mencari gol penyamaan, sebaliknya berlaku apabila PKNS menambah gol kedua hasil jaringan Chan Vathanaka yang menyudahkan hantaran Romel Morales pada minit ke-66.

Hanya dua minit kemudian, Sherman terus menceriakan kem Semut Merah apabila meledak gol ketiga, juga hasil hantaran Morales yang berpunca daripada satu serangan balas.

MU akhirnya berjaya merapatkan kedudukan ketika perlawanan berbaki lima minit hasil sepakan penalti Casagrande selepas Safiq Rahim dijatuhkan Jafri Firdaus Chew.

Jaringan itu jelas menaikkan semangat skuad Hang Tuah dan mereka berjaya merapatkan kedudukan pada masa kecederaan menerusi Shukor Adan, namun sudah terlambat.

Lawan PKNS di pusingan ketiga nanti hanya bakal terjawab selepas proses undian yang dijadualkan berlangsung esok.

972 dibaca
Berita Harian X