Selasa, 2 April 2019 | 11:29pm
Pemain Terengganu FC, Sharul Aizat (dua kanan) menanduk bola sambil diasak pemain Ultimate FC, Mohd Fekry Tajudin pada saringan Pusingan Kedua perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Ghazali Kori

TFC ketepi cabaran Ultimate FC

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) merakam kemenangan besar untuk mara ke pusingan ketiga Piala FA selepas menewaskan kelab Liga M3, Ultimate FC 5-0 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, malam tadi.

Bagaimanapun aksi hambar yang diperagakan anak buah Irfan Bakti Abu Salim selepas jaringan pertama Ashari Samsudin pada minit pertama perlawanan ternyata mengecewakan lebih 2,000 peminat setia tuan rumah.

Ketiadaan arkitek, Lee Tuck yang tidak disenaraikan dalam senarai 18 pemain jelas merencatkan rentak skuad Penyu itu yang bagaikan hilang idea untuk menjana jentera tengah pasukan.

Malah Ashari yang diletakkan sebagai penyerang utama TFC selepas pemain termahal dari Ivory Coast, Kipre Tchetche juga tidak tersenarai dalam 18 pemain juga dilihat buntu untuk menambah gol selepas tidak mendapat umpanan sempurna daripada rakan sepasukan.

Sepanjang 45 minit pertama, TFC hanya memperolehi tiga  percubaan yang menepati sasaran dan selebihnya bola hanya berlegar di kawasan tengah manakala pelawat yang dibimbing Allmahdi Umar Ahmad Juffri sesekali berjaya memecah benteng pertahanan tuan rumah namun turut gagal menghasilkan gol.


Pemain Terengganu FC, Sanjar Shaakhmedov (kanan) cuba melepasi pemain Ultimate FC padapPusingan kedua perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Ghazali Kori

Bersambung babak kedua Irfan yang ternyata berang dengan prestasi anak buahnya melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Sharin Sapien dan Ahmad Syamim Yahya untuk menghidupkan jentera tengah pasukan.

Selepas pertukaran itu segalanya tampak berubah apabila skuad Penyu mendapat gol kedua pada minit ke-73 menerusi pemain pertahanan, Igor Zonjic  melalui tandukan mudah selepas menerima hantaran Sanjar Shaakhmedov.

Lima minit berselang Shaakhmedov yang menjadi watak utama skuadnya berjaya menghasilkan jaringan ketiga skuadnya melalui tandukan susulan bola muntah daripada tampanan penjaga gol, Afif Aizad Azman.

Kapten pasukan, Nasrullah Hanif Johan tidak ketinggalan mencetak nama sebagai penjaring gol keempat pasukannya melalui sepakan penalti selepas pemain gantian, Khairul Anwar Shahrudin dijatuhkan pertahanan pelawat.

Ketika permainan sebenar berbaki seminit untuk ditamatkan, pemain sayap Khairul Izuan Rosli menambah derita pelawat selepas mudah menolak masuk untuk gol kelima pasukannya sekali gus mencatat kemenangan 5-0.

630 dibaca
Berita Harian X