Isnin, 1 April 2019 | 9:19pm
Gambar fail, pemain Terengganu FC, Ahmad Syamim Yahya (kanan) cuba menahan asakan pemain Selangor, Mohd Syazwan Zainon pada perlawanan Liga Super 2019 yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu. - Foto BERNAMA

Syamim tekad robek Ultimate FC

KUALA TERENGGANU: Selepas meledak gol pertamanya musim ini ketika membantu Terengganu FC (TFC) menumpaskan Melaka United, pemain sayap Ahmad Syamim Yahya kian `bernafsu’ untuk menambah koleksi jaringannya menentang Ultimate FC dalam aksi pusingan kedua Piala FA, esok.

Gol itu dianggap penawar mujarab buat bekas pemain kebangsaan kelahiran Raub, Pahang itu dan dia kini berharap rentak cemerlang itu mampu dijelmakan sekali lagi bertemu kelab Liga M3 itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

“Walaupun ramai yang beranggapan pasukan kami bertuah kerana diundi bertemu pasukan kelab Liga M3 itu, tetapi itu hanya di atas kertas, atas padang ia pasti berbeza kerana sudah pasti masing-masing mahu merekod kemenangan.

“Justeru kami tiada pilihan lain melainkan perlu memperagakan aksi terbaik bertemu kelab itu lebih-lebih lagi kami tidak mengetahui kekuatan sebenar pasukan itu.

“Bagaimanapun selepas tewas 0-1 kepada Selangor Jumaat lalu selain saya sendiri sudah menjaringkan gol pertama musim ini, semangat saya dan rakan sepasukan kian membara untuk membantu pasukan mencatat kemenangan dan seterusnya melangkah ke pusingan seterusnya,” kata Syamim yang menyasarkan layak ke final Piala FA musim ini.  

Musim lalu, hajat jurulatih skuad Penyu itu, Irfan Bakti Abu Salim untuk membawa pasukannya mara ke final disekat Selangor pada pusingan ketiga selepas tumpas 1-3 di laman sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Mengulas lanjut, Syamim yang turut dibantu pemain berdarah kacukan Malaysia-England, Lee Tuck dan pemain terbaik kelab Lokomotiv Tashkent  (Liga Uzbekistan) musim lalu, Sanjar Shaakmedov di jentera tengah pasukan berharap episod duka itu sebagaimana bertemu Selangor tidak berulang.

“Pada perlawanan itu, kita bermain baik dan menguasai perlawanan pada babak pertama dan kedua, namun penyudah tumpul menyebabkan kami gagal meraih sebarang mata.

“Oleh itu saya menasihati diri dan rakan sepasukan supaya menyudahkan peluang terhidang dengan jaringan bagi mengelak kita berputih mata di laman sendiri,” kata Syamim yang pernah menyarung jersi T-Team, Johor, FELDA United dan Pahang sebelum ini.

516 dibaca
Berita Harian X