Isnin, 1 April 2019 | 8:15pm
Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie. - Foto Supian Ahmad

Amaran buat Amizal isu tuntutan RM3 juta

KANGAR: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie bertindak mendiamkan diri dan tidak memberi maklum balas walaupun surat tuntutan menyelesaikan hutang sudah diberikan.

Pemangku Presiden PFA, Mohamad Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan, berkata pihaknya memberi tempoh sehingga Khamis ini untuk Ahmad Amizal memberikan maklum balas.

“Kita sudah memberikan kepadanya lebih awal, tetapi dia masih berdiam diri dan tidak memberi maklum balas.

"Jadi kami hanya boleh menunggu sehingga Khamis ini, jika masih tiada maklum balas maka kami akan berjumpa dia di mahkamah sahaja," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, surat tuntutan berjumlah lebih RM3 juta itu dikeluarkan dan diberikan kepada Ahmad Amizal beberapa hari lebih awal sebelum pihaknya memaklumkan kepada media.

“Kita beri tempoh sehingga 4 April ini bagi dia menyelesaikan hutang PFA dan bukannya 9 April seperti yang dilaporkan media sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini BH Sukan melaporkan Ahmad Amizal diberi masa 14 hari untuk menyelesaikan hutang PFA selepas kerosakan yang berlaku ke atas badan induk itu selama empat bulan memegang jawatan Presiden.

Kenyataan berbaur amaran dan tuntutan itu dikeluarkan oleh Abdul Karim pada 27 Mac lalu berikutan Ahmad Amizal tidak memberi maklum balas kepadanya meskipun notis tuntutan sudah dikeluarkan sebelum itu.

Sementara itu, mengulas mengenai kemasukan Ahmad Amizal ke dalam PFA, Abdul Karim menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Jawatankuasa PFA yang memujuk ahli perniagaan itu supaya memimpin badan induk negeri berkenaan.

"Dia (Ahmad Amizal) yang mencari kami dan menawarkan bantuan disaat PFA berada dalam kemelut, bukan sebaliknya.

"Sudahlah kami ditipu, tapi dikecam pula oleh peminat Singa Utara seolah-olah semua yang berlaku berpunca daripada kami," katanya.

Berita Harian X