Isnin, 1 April 2019 | 7:11pm
REAKSI pemain tengah United, Paul Pogba sebelum aksi menentang Warford, kelmarin. - Foto Reuters

'Pogba gembira di United'

LONDON: Paul Pogba gembira di Manchester United dan mempunyai peranan penting bagi masa depan kelab, kata pengurus Ole Gunnar Solskjaer ketika spekulasi perpindahannya ke Real Madrid kian meningkat.

Ketika rehat antarabangsa, bintang Perancis itu mengakui kelab gergasi La Liga itu sebagai ‘impian untuk semua pemain bola sepak.’

Pemain berusia 26 tahun itu turut meluahkan rasa kagumnya terhadap bos Real yang juga legenda Perancis, Zinedine Zidane sambil memuji kelab itu sebagai salah satu kelab terbesar di dunia.

Kata-kata pujian itu kemudian mendapat maklum balas daripada Zidane yang mengakui dia amat menggemari pemain seperti Pogba yang disifatkan boleh melakukan apa saja di atas padang sama ada menyerang atau bertahan.

Berita seperti itu pantas mencetuskan spekulasi mengenai perpindahan ke Santiago Bernabeu buat Pogba tetapi pengurusnya ketika ini di United, Solskjaer merancang untuk mengekalkan salah satu aset utamanya itu di Old Trafford.

“Saya tidak suka bercakap mengenai pemain pasukan lain dan ini adalah satu lagi cabaran ketika menghadapi rehat antarabangsa kerana pemain boleh ditemui ketika itu dan suasananya juga berbeza, cakap-cakap kosong,” kata Solskjaer yang mengesahkan jawatannya, minggu lalu.

“Paul adalah lelaki yang amat baik dan sopan dan menjawab semua soalan secara umum mengenai Zidane sebagai ikon di Perancis, pengurus yang menakjubkan, pernah menjadi pemain yang menakjubkan dan dia juga sopan ketika menjawab soalan.

“Tetapi Paul gembira di sini, dia akan menjadi sesuatu yang penting, peranan yang utama (rancangan masa depan). Kamu gembira untuk membina pasukan kami di sekelilingnya dan ia langsung tidak berubah.”

Solskjaer dalam pada itu turut memberi bayangan akan memberi peranan baharu untuk Pogba selepas mengharungi perlawanan kurang meyakinkan ketika menewaskan Watford 2-1, Sabtu lalu.

“Kami mahu Pogba menjadi pemain yang baik untuk kami di dalam dan di luar padang,” katanya. “Kami mahu dia menjadi pemain yang berpengaruh ketika kami beraksi.” - Agensi

645 dibaca
Berita Harian X