Sabtu, 30 March 2019 | 11:25am
Jurgen Klopp. - Foto AFP

Spurs rintangan besar Liverpool

LIVERPOOL: Liverpool berdepan cabaran terbesar dalam misi menamatkan kemarau tiga dekad kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila Tottenham Hotspur yang turut terdesak memburu mata bertandang ke Anfield esok.

Skuad kendalian Jurgen Klopp masih mendahului dua mata ke atas Manchester City yang bermain kurang satu perlawanan, dan terpaksa mengharapkan juara bertahan itu tercicir mata dalam baki lapan perlawanan termasuk menentang Fulham malam ini.

Kunjungan ke Southampton, Cardiff dan Newcastle, yang bergelut mengelak penyingkiran, menanti Liverpool tetapi majoriti daripada baki tujuh perlawanan musim ini adalah di Anfield, di mana mereka hanya tercicir empat mata sepanjang musim ini.

“Kami menjangkakan Tottenham pada kekuatan maksimum mereka kerana saya tidak dengan sebarang masalah kecederaan di dalam skuad mereka,” kata Klopp.

“Mereka ada kecederaan musim ini tetapi bukan dalam tempoh sekarang, jadi ini skuad terkuat mereka. Pasukan kelas dunia akan berada di sini.”

Penyerang Spurs, Harry Kane kembali daripada kecederaan buku lali dengan menjaringkan gol dalam kedua-dua kemenangan England ke atas Republik Czech dan Montenegro.

Deretan 12 gol dalam 13 perlawanan untuk kelab dan negara menyaksikan Kane kini setanding dengan penyerang Liverpool Mohamed Salah dan Sadio Mane pada 17 gol Liga Perdana Inggeris, hanya satu di belakang Sergio Aguero dari Manchester City untuk pemburuan Kasut Emas.

Salah memintas Kane di saat akhir untuk gelaran itu musim lalu, tetapi pemain Mesir itu hanya meledak sekali dalam 10 perlawanan terakhir, di mana tugas berkenaan dipikul Mane yang menjaringkan 11 gol dalam 11 perlawanan. – AFP

630 dibaca
Berita Harian X