Jumaat, 29 March 2019 | 9:35pm
Ahmad Amizal mengunci mulut apabila disoal mengenai tuntutan yang dikemukakan oleh PFA ke atasnya. - NSTP/Supian Ahmad

Ahmad Amizal kunci mulut isu tuntutan RM3 juta

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dilihat mengambil pendekatan untuk mengunci mulut apabila disoal mengenai tuntutan yang dikemukakan oleh PFA ke atasnya.

Meskipun sudah melepaskan jawatannya Februari lalu namun pengurusan semasa persatuan itu enggan ‘melepaskannya’ daripada tanggungjawab menyelesaikan hutang yang membelenggu pasukan Singa Utara itu.

“Maaf saya tidak mahu komen apa apa atau mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini.

“Apabila saya sudah bersedia nanti, saya akan maklumkan kepada rakan media,” katanya ringkas kepada dihubungi BH Sukan, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Amizal diberi masa 14 hari iaitu sehingga 9 April bagi menyelesaikan hutang PFA atau tindakan saman akan diambil ke atasnya.

Pemangku Presiden PFA, Mohamad Abdul Karim Khan Mansur Ahmad Khan, berkata jumlah hutang yang perlu dibayar Ahmad Amizal kepada PFA adalah berjumlah RM3 juta.

Mohamad Abdul Karim berkata, jumlah tuntutan itu juga termasuk ganti rugi atas kemungkiran Ahmad Amizal dalam perjanjian penajaan kepada PFA yang dibuat antara mereka sewaktu perlantikan Ahmad Amizal tahun lalu.

“Tindakan (tuntutan) ini dibuat berdasarkan segala kerosakan dan memberi imej buruk kepada PFA yang dilakukan sebelum ini sehinggakan PFA disingkirkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dari beraksi dalam Liga Perdana 2019.

“Sekiranya dia gagal menjelaskan hutang berkenaan, saman akan dikeluarkan terhadap beliau oleh pihak kami,” katanya menerusi satu kenyataan, Rabu lalu.

448 dibaca
Berita Harian X