Jumaat, 29 March 2019 | 11:48am
PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan. - Foto Owee Ah Chun.

Kim Swee masih relevan: Sathia

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menganggap Datuk Ong Kim Swee masih releven untuk melatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara walaupun pasukan itu gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan B-23 AFC, tahun depan.    

Sathianathan berkata demikian berdasarkan kemampuan Kim Swee yang dilihat berjaya menyumbangkan beberapa kejayaan manis skuad B-23 selain mengubah corak permainan pasukan muda negara ke arah yang lebih positif.

Malah, kejayaan skuad B-23 mengikat China 2-2 pada aksi terakhir kelayakan Kumpulan J, Selasa lalu juga membuktikan Kim Swee setanding dengan Guus Hiddink yang jelas jauh berpengalaman di peringkat antarabangsa.

"Walaupun pengalaman Hiddink yang pernah bimbing Chelsea, berada di Piala Dunia dan sebagainya, tapi tak kurang hebatnya Kim Swee. Ia bukti jurulatih tempatan pun boleh bersaing,” kata Sathia.

"Memang dia (Kim Swee) orang yang paling layak buat masa ini untuk mengendalikan pasukan muda kita. Malah dia seharusnya diberi tugas lebih besar iaitu melihat bakat pemain B-16, B-17 dan B-18.

"Dia boleh jadi macam pencari bakat dengan menilai prestasi dan memilih pemain muda yang sekali gus boleh membantu skuad kebangsaan pada masa akan datang."

Anak buah Kim Swee terpaksa akur apabila gagal melayakkan diri ke pusingan Kejohanan B-23 AFC di Thailand, tahun depan walaupun tidak tewas dalam tiga aksi kelayakan.

Lebih perit, kegagalan itu turut menyaksikan misi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melihat skuad B-23 beraksi di Sukan Olimpik Tokyo tahun depan juga terkubur.

Selain itu, Sathianathan turut menjelaskan masalah ketumpulan jentera serangan menjadi faktor utama skuad B-23 gagal menempah tiket ke Bangkok.

"Bukan 10 peluang untuk menjaringkan satu gol, tapi 10 peluang perlu sumbat empat atau lima gol, itu baru seorang penyerang yang bagus. Tapi bukan senang nak dapatkan pemain seperti itu.

"Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Hadi Fayyadh Abdul Razak sudah memainkan peranan penting, tapi mereka perlu tingkatkan lagi kemahiran bila di depan gol.

"Mengenai pergerakan, menggelecek dan kawalan bola, semua ada, tapi penyudah depan gol itu yang kita kena tingkatkan atau melatih seorang penyerang yang benar-benar berbahaya," katanya.

461 dibaca
Berita Harian X