Khamis, 28 March 2019 | 6:34pm
MANCHESTER United hari ini melantik Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengendali tetap dengan ikatan kontrak tiga tahun. - Foto Reuters

United ikat Solskjaer tiga tahun

LONDON: Selepas cemerlang mengendalikan pasukan dalam tempoh tugasannya selaku pengurus sementara, Manchester United hari ini melantik Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengendali tetap dengan ikatan kontrak tiga tahun.

Pengurus dari Norway itu mencetus inspirasi kebangkitan United sejak mula mengambil alih tugasan itu daripada Jose Mourinho, yang dipecat Disember lalu.

Sejak melatih pasukan, Red Devils sudah meraih 14 kemenangan dalam 19 perlawanan dan turut mengetuai pasukan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

"Sejak hari pertama saya sampai, saya rasakan seperti berada di rumah sendiri," kata Solskjaer menerusi laman web rasmi United.

"Ia satu penghargaan untuk jadi pemain Manchester United dan memulakan karier kejurulatihan di sini. Sejak beberapa bulan, ianya satu pengalaman yang menarik dan saya mahu berterima kasih kepada semua jurulatih, pemain dan juga kakitangan lain.

"Ini adalah tugas yang saya impikan dan saya begitu teruja apabila berpeluang mengetuai pasukan ini dalam tempoh yang panjang. Saya harap mampu capai kejayaan berterusan seperti yang penyokong kami berhak dapat."

Ketika bergelar pemain, Solskjaer menjaringkan 126 gol dalam 366 penampilan dan pada 1999 dia pernah muncul wira buat penyokong United selepas jaringannya pada masa tambahan memastikan kejuaraan Liga Juara-Juara sekali gus melengkapkan status trebel.

"Tidak hanya prestasi dan keputusan, Ole juga membawa pengalaman yang hebat, sama ada sebagai pemain dan juga jurulatih. Ditambah pula dengan keinginannya memberi peluang kepada pemain muda dan memahami budaya di kelab ini," kata Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward. – AFP

Berita Harian X