Rabu, 27 March 2019 | 1:39pm
PENGURUS Pahang, Datuk Suffian Awang mahu pasukan kekal prestasi. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Tok Gajah harap kekal momentum

KUANTAN: Pahang yang hanya menekankan kepada aspek latihan sepanjang tempoh rehat Liga Super mahu prestasi konsisten dipersembahkan apabila saingan liga bersambung.

Justeru, skuad Tok Gajah yang akan bertandang ke Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran Sabtu ini bertemu FELDA United FC menyasarkan misi mengutip tiga mata.  

Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kejayaan menduduki tangga kedua liga selepas enam perlawanan membuktikan bahawa skuad itu berada di prestasi terbaik.  

"Namun, dengan jadual perlawanan yang masih panjang, skuad kendalian Dollah Salleh perlu mempertingkatkan lagi kualiti perlawanan.  

"Pahang perlu memberi tekanan kepada lawan untuk memastikan kedudukan teratas liga menjadi milik pasukan selepas ini," katanya.  

Dalam pada itu, Mohammed Suffian mengharapkan pemain yang beraksi bersama skuad Harimau Malaya dan skuad Bawah 23 tahun negara bebas daripada kecederaan.  

Katanya, ia bagi memastikan percaturan terbaik dapat dilakukan Dollah untuk memastikan skuad Tok Gajah yang diturunkan benar-benar cergas.  

"Saya percaya selepas mereka mewakili negara, komitmen mereka akan lebih mantap dan bertenaga," katanya.  

Pemain Pahang yang menyarung jersi negara ialah kapten pasukan, Matthew Davies, Mohamadou Sumareh dan Nor Azam Azih bersama skuad Tan Cheng Hoe manakala R Dinesh dan Faisal Abdul Halim dengan Datuk Ong Kim Swee.

Berita Harian X