Rabu, 27 March 2019 | 12:35pm
Bekas pengurus Manchester United Jose Mourinho (kiri) dan Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.

'Mourinho sumbang kejayaan Solskjaer'

LONDON: Sebahagian kejayaan Ole Gunnar Solskjaer di Manchester United adalah rentetan usaha yang dijalankan pengendali terdahulu Jose Mourinho, menurut seorang lagi bekas pengurus, Louis Van Gaal.

Solskjaer mencipta impak yang mengagumkan sejak tiba ke Old Trafford sebagai pengurus sementara susulan pemecatan Mourinho pada Disember lalu.

Bekas penyerang United itu sudah menang 10 daripada 13 perlawanan Liga Perdana Inggeris yang kembali meletakkan Red Devils bagi pemburuan kedudukan empat teratas liga.

Pengendali dari Norway itu turut cemerlang membawa United mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas meraih kebangkitan menakjubkan menewaskan juara Perancis, Paris Saint Germain.

Van Gaal yang menghabiskan dua musim di United sebelum digantikan dengan Mourinho pada 2016 menegaskan taktik pengurus dari Portugal itu menjadi asas terhadap kejayaan Solskjaer.


Pengurus Belanda, Van Gaal.

Pengurus dari Belanda berusia 67 tahun itu turut mendakwa United menampilkan permainan lebih menarik ketika di bawah bimbingannya berbanding ketika ini.

Begitupun, dakwaan Van Gaal tampak sedikit pelik kerana United sejak diambil alih Solskjaer menampilkan aksi lebih menghiburkan sehingga dia kini di ambang untuk disahkan jawatan berkenaan secara tetap.

“Cara Manchester United bermain sekarang tidak serupa dengan cara Ferguson mainkan sebelum ini,” kata Van Gaal. “Ia bertahan, corak serangan balas. Jika kamu menggemarinya, kamu akan menyukainya.

“Jika kamu rasa ia lebih menarik berbanding dengan corak permainan menyerang saya, tidak apa. Tetapi ia bukan kebenarannya. 

“Solskjaer hanya tewas dua kali dan dia perlu menanganinya. Amat penting untuk Manchester United layak ke Liga Juara-Juara. Seperti ketika saya menjadi pengurus.

“Tetapi mereka boleh memenangi Liga Juara-Juara kerana mereka menggunakan sistem bertahan dan menjadi pasukan yang amat sukar untuk ditewaskan, sama ada kamu suka atau tidak, ia adalah hasil kerja Mourinho.”

Jodoh United dan Van Gaal berakhir apabila dia dipecat pada penghujung musim keduanya sejurus selepas memenangi Piala FA.

Selain itu, bekas jurulatih Barcelona itu mengakui masih berdendam dengan Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward yang dikatakan berhubung dengan Mourinho ketika dia masih menggalas tugas berkenaan. - AFP

Berita Harian X