Selasa, 26 March 2019 | 8:20pm
PEMAIN Laos, Bounphachan Bounkong (tengah) diasak pemain Filipina pada aksi terakhir kumpulan saingan kelayakan Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) 2020 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. - Foto Azhar Ramli

Laos bikin anak buah Kim Swee tambah tertekan

SHAH ALAM: Laos bangkit pada babak kedua untuk meraih kemenangan moral 3-2 ke atas Filipina pada aksi terakhir kumpulan saingan kelayakan Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) 2020 di Stadium Shah Alam, di sini, sebentar tadi.

Keputusan itu sekali gus meletakkan pasukan Malaysia terus dalam tekanan untuk memastikan kemenangan ke atas China di gelanggang sama, bermula jam 8.45 malam ini sekiranya ingin layak secara automatik ke Bangkok tahun depan selaku juara Kumpulan J.

Seandainya tewas kepada pasukan bimbingan Guus Hiddink itu, anak buah Datuk Ong Kim Swee masih boleh mengharapkan kedudukan sebagai naib juara kumpulan. Sebanyak empat tempat disediakan, namun peluang Malaysia dilihat dijangka tipis selepas kemenangan Laos itu.

Terdahulu, perlawanan sebentar tadi seakan bakal jadi milik Filipina apabila berjaya pasukan berkenaan mendahului Laos dengan kelebihan dua gol - kedua-duanya menerusi Javier Gayoso pada minit ke-10 dan ke-33.


PEMAIN Laos, Lathasay Lounlasy ( kanan) diasak pemain Filipina, Dylan De Bruycker pada aksi terakhir kumpulan saingan kelayakan Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) 2020 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. - Foto Azhar Ramli

Bagaimanapun, Laos tampil garang di babak kedua dan memerlukan tempoh 28 minit untuk memperoleh gol pertama menerusi pemain gantian, Chitpasong Latthachack pada minit ke-73.

Jaringan itu jelas menyuntik semangat Laos dan hasilnya minit ke-87, kedudukan kembali seimbang, kali ini giliran Vannasone Douangmaity mencetak nama selaku penjaring buat skuad Thimsad.

Ketika aksi dilihat bakal berakhir dengan keputusan seimbang 2-2, pada masa kecederaan tanpa diduga Bounphachan Bounkong meledak gol kemenangan buat Laos.

"Sejujurnya kami bermula kurang baik namun saya gembira dengan apa yang pemain tunjukkan dan saya bangga dengan mereka keranan bukan mudah untuk bangkit ketika ketinggalan dua gol,” kata Ketua Jurulatih Laos, V Sundram Moorthy.

"Ketika rehat, saya mengubah formasi untuk lebih menyerang. Malah pemain gantian yang saya masukkan banyak main peranan buat pasukan untuk pamer kebangkitan yang kita tunjukkan hari ini,".

Berita Harian X