Sabtu, 23 March 2019 | 4:07pm
PEMAIN Malaysia, Muhammad Faisal Halim (kiri) diasak pemain Filipina, William Grierson pada aksi Kumpulan J pusingan kelayakan Kejuaraan Bawah 23 (B-23) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Shah Alam, semalam. - Foto BERNAMA

Faisal pertahan jaringan ke atas Filipina

SHAH ALAM: Penyerang negara, Muhammad Faisal Halim, mempertahankan jaringannya ketika Malaysia menewaskan Filipina 3-0 pada aksi Kumpulan J pusingan kelayakan Kejuaraan Bawah 23 (B-23) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di sini, semalam.

Menyedari pelbagai reaksi oleh penyokong termasuk melabel beliau tidak memiliki semangat kesukanan, Muhammad Faisal berkata tindakannya itu tidak melanggar mana-mana peraturan perlawanan.

“Dalam bola sepak tiada pun mengatakan fair play ini harus dipatuhi. Kita memerlukan kemenangan dan gol yang banyak. Jadi kita gunakan kelebihan itu untuk pasukan kita,” katanya selepas perlawanan di Stadium Shah Alam di sini.

Pada aksi itu, Muhammad Faisal yang diturunkan sebagai pemain gantian memanfaatkan gerakan ‘fair play’ dengan ‘mencuri’ bola daripada pasukan lawan sebelum memperdayakan pertahanan dan penjaga gol untuk menjaringkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-82.

Sementara itu, pemain Pahang berusia 21 tahun itu berharap jaringannya semalam membuka mata ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee akan kemampuan dimiliknya.

Beliau turut mengakui mengintai lebih minit permainan terutama pada dua aksi akan datang - bertemu Laos esok dan aksi terakhir saingan kelayakan berdepan China pada Selasa depan.

“Saya harap jaringan saya pada malam ini akan beri lebih impak kepada saya untuk perlawanan seterusnya. Sejujurnya saya ketagih minit bermain dan saya harap peluang akan terus diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemenangan 3-0 menewaskan Filipina, Muhammad Faisal berkata ia adalah satu permulaan baik sekali gus membakar semangat pasukan menjelang dua aksi seterusnya.

“Permulaan yang baik walaupun terlepas banyak peluang untuk menambah jaringan. Saya harap kemenangan ini akan bawa satu aura positif apabila menentang Laos,” katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X