Sabtu, 23 March 2019 | 3:13pm
PEMAIN Malaysia, Akhyar Rashid meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Filipina pada aksi pembukaan Kumpulan J kelayakan kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Stadium Shah Alam. - Foto BERNAMA

Kemenangan yang penting - Kim Swee

KUALA LUMPUR: Walaupun skuad bawah 23 tahun (B-23) tahun negara menewaskan Filipina pada aksi pembukaan Kumpulan J kelayakan kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 malam tadi, kemenangan itu tetap dipersoalkan penyokong.

Ia selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam itu menyaksikan anak buah Datuk Ong Kim Swee mensia-siakan banyak peluang terhidang ketika mereka sepatutnya boleh meledak sekurang kurangnya empat lagi gol pada aksi berkenaan.

Bagaimanapun, Kim Swee menjelaskan misi utama iaitu meraih tiga mata sudah tercapai namun tetap mengingatkan anak buahnya betapa jumlah jaringan tetap memainkan peranan penting sebagai penentu nasib mereka ke saingan AFC di Thailand, tahun depan.

“Kalau kita tidak dapat mencatat kemenangan dengan jumlah gol yang besar, sekurang kurangnya kita dapat mengutip mata penuh dahulu.

“Kita sememangnya memerlukan kemenangan dan keputusan ini memberikan satu permulaan yang positif kepada kita walaupun bahagian penyudah mengecewakan kita daripada menghasilkan lebih banyak gol,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan, malam tadi.

Pada aksi terbabit, bintang sensasi, Akhyar Rashid meledak gol seawal minit keempat sebelum menambah satu lagi gol pada minit ke-30 dan pemain gantian, Faisal Abdul Halim meledak gol ketiga pada minit ke-84.

Mengulas lanjut aksi kedua bertemu Laos malam ini, Kim Swee mengharapkan anak buahnya ‘tidak lagi main-main’ dan dapat menyempurnakan setiap peluang yang dicipta.

“Bagi aksi bertemu Laos, tiada bezanya dengan aksi malam ini (kelmarin) namun kita perlu pastikan setiap peluang dapat menghasilkan gol.

“Saya juga mengharapkan pemain dapat bangkit khususnya jentera serangan di mana mereka perlu menjadi bertambah efektif dan memberi impak buat pasukan.

“Ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan dan saya perlu teliti sama ada serius ataupun tidak. Semuanya bergantung kepada situasi pada sesi latihan esok (semalam),” katanya.

750 dibaca
Berita Harian X