Jumaat, 22 March 2019 | 1:21am

Peminat Man Utd dapat subsidi

LONDON: Manchester United akan meningkatkan harga tiket untuk penyokong Barcelona bagi aksi suku akhir Liga Juara-Juara sebagai subsidi kepada peminatnya yang akan berkunjung ke bandaraya Sepanyol itu.

Kelab Inggeris itu, yang memperuntukkan 4,610 tiket bagi aksi pertama diberitahu oleh Barcelona bahawa tiket untuk penyokong pelawat di Nou Camp berharga £102 pounds (RM539). 

Media British melaporkan harga tiket berkenaan adalah yang termahal bagi perlawanan United di gelanggang lawan selain daripada aksi final.

Sebagai tindak balas, United meningkatkan harga tiket bagi penyokong Barca yang berkunjung ke Old Trafford dengan jumlah yang sama dan akan menggunakan keuntungan berkenaan bagi memastikan peminat kelab itu hanya membayar £75 pounds (RM396) bagi tiket perlawanan kedua.

"Barcelona mengesahkan harga tiket kami bagi perlawanan ini adalah £102 pounds (RM539). Dalam hal ini kami percaya bahawa penyokong kami yang membuat kunjungan sekali lagi menjadi subjek kepada kenaikan harga tiket yang berlebihan dari pasukan tuan rumah,” kata United dalam satu kenyataan.

"Serupa dengan perlawanan dengan Valencia di peringkat kumpulan dan Sevilla pada tahun lalu, kami perlu sekali lagi mengambil keputusan yang sukar untuk mengenakan peminat Barcelona harga yang sama bagi perlawanan di tempat sendiri di Old Trafford seperti yang mereka lakukan pada aksi di tempat lawan.

“Kami akan menggunakan keuntungan tambahan yang diperoleh daripadanya sebagai subsidi kepada peminat kami yang melakukan kunjungan dengan membayar perbezaan £27 pounds (RM142) bagi setiap penyokong kami.”

Bulan lalu, peminat Bayern Munich melakukan protes terhadap harga tiket di Liga Juara-Juara dengan mempamerkan kain rentang ketika perlawanan menentang Liverpool dan kelab Inggeris melakukan perkara yang sama di Anfield.

United menanti kunjungan Barcelona di Old Trafford pada 11 April dan perlawanan timbal balik kedua di Nou Camp dijadualkan pada 17 April. - REUTERS

Berita Harian X