Jumaat, 22 March 2019 | 12:58am
REAKSI Cristiano Ronaldo meraikan gol ketika bertemu Atletico Madrid pada 12 Mac. - Foto EPA

Tiru Simeone, Ronaldo didenda RM92,000

LAUSANNE: Cristiano Ronaldo didenda 20,000 euro (RM92,000) oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) kerana meniru gaya kurang sopan pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone ketika meraikan kejayaan Juventus di Liga Juara-Juara, minggu lalu.

Penyerang berusia 34 tahun itu menjaringkan hatrik pada perlawanan kedua peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara untuk menang 3-0 sekali gus mara ke suku akhir menerusi agregat 3-2.

Pada aksi pertama di Madrid, juara Itali Juventus tewas 2-0 yang menyaksikan Simeone melakukan gaya penuh kontroversi.

Selepas menyempurnakan penalti yang juga gol kemenangan di Stadium Allianz, Ronaldo bergerak ke arah peminat Atletico dan meniru gaya sambutan Simeone dengan menunjukkan alas sulit serta menggoyangkan pangkal pahanya.

Simeone sebelum ini turut didenda dengan jumlah yang sama oleh UEFA.

Ronaldo yang kembali menyarung jersi Portugal selepas lebih sembilan bulan berehat bagi aksi antarabangsa sudah menjaringkan 24 gol bersama Juventus musim ini sejak meninggalkan Real Madrid, tahun lalu. - AFP

1967 dibaca
Berita Harian X