Khamis, 21 March 2019 | 7:43pm
REAKSI pemain Malaysia selepas tewas 1-0 kepada Singapura pada saingan Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Asyraf Hamzah

Mana hilangnya taring Harimau Malaya?

KUALA LUMPUR: Apa sudah jadi Harimau Malaya?

Persoalan itu mungkin bermain di segenap minda penyokong bola sepak negara selepas skuad kendalian Tan Cheng Hoe tumpas 0-1 kepada negara jiran, Singapura pada aksi Piala Airmarine di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Daripada aksi yang dipamerkan, ia langsung tidak sepadan dengan apa yang pernah ditunjukkan mereka ketika muncul naib juara Piala AFF sebelum ini.


KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. - Foto BERNAMA

Apa yang merisaukan kekalahan itu juga dijangka merencatkan usaha Harimau Malaya memperbaiki ranking dunia dan memintas kedudukan skuad Singa di tangga ke-34 Asia.

Adakah benar Harimau Malaya tidak mampu beraksi baik tanpa adanya 'ngauman' Ultras Malaya?

Jika benar ia jelas petanda buruk buat Cheng Hoe menjelang pertemuan tempat ketiga menentang Afghanistan yang menyaksikan maruah menjadi pertaruhan.

Sekiranya tewas kepada Afghanistan dan kekal di ranking ke-35 ke atas di Asia, Harimau Malaya terpaksa memilih laluan sukar mengharungi pusingan play-off untuk ke kelayakan Piala Dunia 2022.

"Saya kena berbincang dengan pengurusan kerana saya tidak berapa jelas tentang pengiraan ranking. Kalau kita menang dengan Singapura tetapi tewas kepada Oman, kita mungkin juga tidak dapat mata.

"Jadi saya perlu dapatkan penjelasan yang terbaik daripada pengurusan," kata Cheng Hoe pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe nyata individu paling kecewa dengan persembahan buruk anak buahnya yang menyaksikan mereka memulakan kalendar 2019 dengan nota kekalahan.

"Aksi separuh masa, kami tidak bermain seperti yang dirancang apabila pemain sering hilang bola, tidak berjaya cipta peluang dan lambat beri tekanan kepada pemain lawan.

"Pada babak kedua, kami bermain lebih baik namun kami dihukum akibat kecuaian sendiri," katanya.

1104 dibaca
Berita Harian X