Khamis, 21 March 2019 | 5:26pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

Syed Saddiq rindu semangat Ultras Malaya

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kecewa apabila hanya segelintir penyokong Harimau Malaya yang hadir ketika pertemuan menentang Singapura dalam aksi Piala Airmarine, malam tadi.

Beliau yang turut menyaksikan perlawanan yang berkesudahan Harimau Malaya tewas 0-1 itu mengakui ketiadaan kumpulan penyokong Ultras Malaya dirasai.

"Ketiadaan Ultras dirasai dan pastilah kehadiran mereka dirindui sebab semangat yang mereka bawa ke stadium sebelum ini memang tiada tandingan," katanya selepas majlis prapelancaran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Untuk rekod, perlawanan itu hanya disaksikan lebih kurang 3,000 penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang mampu menampung 90,000 penonton.

Sebelum ini, Ultras membuat keputusan untuk memboikot pertandingan empat penjuru itu disebabkan harga tiket yang mahal iaitu RM35 berbanding harga biasa RM20 sebelum ini.

"Saya tetap hadir (perlawanan semalam) kerana bertanggungjawab memberikan sokongan kepada pasukan Harimau Malaya khususnya selepas membaca laporan di media rayuan pemain yang berharap peminat turun," kata Syed Saddiq.

Sementara itu, Syed Saddiq berharap anak buah Tan Cheng Hoe akan bangkit memperagakan aksi lebih baik apabila turun menentang Afghanistan untuk penentuan tempat ketiga, Sabtu ini.

"Daripada segi corak permainan mereka semalam, saya rasa mereka boleh melakukan lebih baik dan yakin mereka akan lakukan lebih baik (menentang Afghanistan).

"Saya juga difahamkan mereka terpaksa membahagikan pemain dengan skuad bawah 23 tahun. Walau apapun mari kita bagi sokongan kepada mereka," katanya.

 

946 dibaca
Berita Harian X