Rabu, 20 March 2019 | 8:50am
Ryan Giggs ketika di sidang media di Manchester. - Foto Reuters

Giggs balas kritikan Ibrahimovic

LONDON: Ryan Giggs menjawab kritikan Zlatan Ibrahimovic berkenaan “Kelas 92” dengan menegaskan pemain-pemain yang “mempunyai 2,000 perlawanan antara mereka” berhak untuk memberi pendapat tentang Manchester United.

Bekas penyerang United, Ibrahimovic mendakwa yang kesetiaan Giggs serta beberapa pengulas bola sepak seperti Gary Neville dan Paul Scholes terhadap Alex Ferguson mencetus kritikan ke atas Paul Pogba.

Ibrahimovic berkata kritikan ke atas Pogba bermula sejak pemain itu memutuskan untuk meninggalkan Old Trafford dan menyertai Juventus pada tahun 2012 ketika Ferguson masih mengendali United.

“Hanya Nicky (Butt) yang masih ada hubungan dengan kelab sekarang tetapi apabila anda bermain lebih 2,000 perlawanan antara kami, kami pasti akan mempunyai pendapat,” kata Giggs, kini pengendali Wales, yang mengharungi jumlah perlawanan tertinggi bersama United – 963 penampilan dari tahun 1991 hingga 2014.

“Kadang kala ia positif, ada ketika ia negatif, tetapi ia tidak memberi kesan kepada keputusan. Kami adalah penyokong. Itulah bola sepak, menampilkan pendapat berbeza.

“Tetapi dia (Ibrahimovic) tentu lebih tahu tentang kelab berbanding kami.”

GIggs, 45, dan bekas rakan sepasukan Kelas 92 Neville, Scholes, Butt, David Beckham dan Phil Neville, bergabung mengharungi keseluruhan 3,450 perlawanan sepanjang tempoh paling cemerlang United dalam sejarah kelab.

Ibrahimovic hanya beraksi 53 perlawanan untuk United selepas ditandatangani oleh Jose Mourinho pada tahun 2016 dan kemudian menyertai LA Galaxy pada tahun 2018.

Giggs turut berada dalam skuad yang memenangi treble Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris dan Piala FA pada tahun 1999. – AFP 

Berita Harian X