Rabu, 20 March 2019 | 7:42am
Pemain Juventus, Cristiano Ronaldo (kiri) meraikan jaringan dengan Federico Bernardeschi dalam pertemuan Liga Juara-Juara menentang Atletico de Madrid di Turin, Itali, minggu lalu. - Foto EPA

"Gila" jika gantung Ronaldo: Bernadeschi

MILAN: Rakan sepasukan Cristiano Ronaldo di Juventus, Federico Bernardeschi berkata ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal jika Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) menggantung penyerang Portugal itu disebabkan cara dia meraikan gol.

Ronaldo berdepan dakwaan “kelakuan tidak sopan” oleh UEFA selepas dia mengajuk gaya pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone meraikan gol selepas penyerang Juventus itu meledak hatrik dalam kebangkitan pasukannya pada saingan Liga Juara-Juara.

“Ia sesuatu yang saya rasa tidak perlu diberi perhatian pun, ia (penggantungan) pasti menjadi sesuatu yang tidak masuk akal,” kata Bernardeschi yang kini bersama skuad Itali untuk kempen kelayakan Euro 2020.

“Saya rasa ia akan berakhir di situ, ia hanyalah meraikan gol, satu gerak isyarat. Saya lihat dia tenang sahaja, begitu juga kita semua. Saya pasti semuanya tidak apa-apa.

“Cristiano adalah juara yang sempurna. Dia memberi sumbangan besar kepada kami, mempunyai karisma sebagai juara. 

“Berada di sampingnya setiap hari membolehkan anda belajar banyak perkara.”

Itali akan memulakan kempen Euro 2020 di laman sendiri menentang Finland di Udine pada Sabtu (awal pagi Ahad waktu Malaysia) diikuti Liechtenstein di Parma pada 26 Mac.

Itali, juara dunia empat kali, dalam usaha membina semula skuad mereka selepas kegagalan layak ke Piala Dunia 2018, dan mensasarkan gelaran Eropah kedua selepas kali pertama pada tahun 1968.

2082 dibaca
Berita Harian X