Rabu, 20 March 2019 | 12:32am
ZLATAN Ibrahimovic. - Foto The Telegraph

Ibrahimovic bidas 'Kelas 92' United

LONDON: Bekas pemain ‘Kelas 92’ Manchester United lantang mengkritik Paul Pogba kerana mereka tidak setia kepada bekas pengurus, Sir Alex Ferguson, kata Zlatan Ibrahimovic.

Pogba yang lahir daripada akademi United meninggalkan kelab itu secara percuma pada 2012 selepas Ferguson bertelagah dengan ejennya Mino Raiola tetapi kembali ke Old Trafford pada 2016 sambil memecah rekod perpindahan dunia selepas mengharungi kempen mengagumkan di Juventus.

Pemain berusia 26 tahun itu dikritik hebat susulan prestasi longlai di awal musim oleh bekas pemain, Gary Neville dan Paul Scholes yang bertugas sebagai pengkritik televisyen tetapi bagi Ibrahimovic, ia adalah disebabkan oleh keputusan Pogba meninggalkan Ferguson.

“Pogba, dia bersama United ketika remaja dan kemudian keluar dan dia kembali,” kata Ibrahimovic yang bermain bersama Pogba selama satu setengah musim di United kepada akhbar England.

“Dalam ruang Ferguson, mereka tidak menggemarinya kerana mereka menghabiskan karier mereka di bawah Ferguson dan tidak pernah meninggalkan Ferguson.

“Mereka langsung tidak bercakap jika Ferguson tidak memberitahu mereka supaya membuka mulut. Jadi kini jika mereka bercakap, saya tidak tahu sama ada Ferguson memberikan mereka kebenaran atau tidak.”

Sekali pun memainkan peranan penting membantu Perancis menjulang Piala Dunia tahun lalu, Pogba bergelut pada musim ini di bawah bekas pengurus, Jose Mourinho dan lebih banyak memanaskan bangku simpanan.

Begitupun, Pogba mengubah kembali nasibnya dengan meledak sembilan gol dan melakukan tujuh umpanan dalam semua kejohanan selepas Ole Gunnar Solskjaer dilantik sebagai pengurus sementara pada Disember.

“Saya fikir Pogba mempunyai potensi untuk menjadi pemain terbaik dunia di posisinya,” kata Ibrahimovic yang ketika ini beraksi bersama kelab LA Galaxy.

“Dia lelaki yang bagus, berlatih dengan bersungguh-sungguh, dengar cakap dan mahu menjadi lebih baik, mahukan kemenangan, mahu beraksi dengan baik di setiap perlawanan. 

“Perkara yang berlaku di luar tidak benar-benar mengganggunya kerana apabila kamu berada di tahap itu, semua orang akan bercakap, positif dan negatif.” - Reuters

2108 dibaca
Berita Harian X