Selasa, 19 March 2019 | 7:24pm
Legenda Manchester United, Ryan Giggs. - Foto The Guardian

Kelayakan Euro 2020 penentu buat Giggs

LONDON: Legenda Manchester United, Ryan Giggs bertekad untuk menutup mulut pengkritiknya tetapi percaya kempen kelayakan Euro 2020 bakal menentukan nasibnya sebagai pengurus Wales.

Wales memulakan kempen kelayakan Euro 2020 melawan Slovakia di gelanggang sendiri, Ahad ini dengan Giggs sudah memikul tanggungjawab berkenaan selama 14 bulan sejak menggantikan Chris Coleman.

Giggs sudah mencatatkan tiga kemenangan, satu seri dan lima kekalahan sepanjang sembilan perlawanan yang diharungi.

Tetapi dengan kehadiran pemain-pemain muda berpotensi bersama pemain senior berkualiti seperti yang ditunjukkan ketika menewaskan Ireland 4-1 dalam saingan Liga Negara-Negara, September tahun lalu, Wales kini mula menampilkan persembahan membanggakan.

“Saya meletakkan diri saya di bawah tekanan pada tahun lalu jadi sama ada ia adalah tempoh bulan madu atau tidak, saya tidak berapa pasti,” kata Giggs. “Itulah satu-satunya tekanan yang saya rasai.

“Saya fikir saya akan dihakimi menerusi aksi kelayakan, saya tahu apa yang perlu dilakukan. Membawa Wales layak ke kejohanan utama, itulah cara ia akan dihakimi.”

Coleman sebelum ini membimbing Wales ke separuh akhir Euro 2016, penampilan sulung negara itu di peringkat empat terbaik kejohanan utama dalam tempoh 58 tahun.

Begitupun, jodohnya bersama pasukan itu berakhir selepas enam tahun apabila Wales gagal mara ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Russia.

“Orang memang menjangkakan (kelayakan), mungkin disebabkan apa yang kami capai di Euro 2016,” kata Giggs menjelang aksi persahabatan menentang Trinidad & Tobago di Wrexham, esok.

“Tetapi ia berlaku sekali dalam tempoh 60 tahun, jadi kami tidak selalu layak. Ini adalah kerja saya ketika ini, untuk layak atau sekurang-kurangnya bersaing. Kami tidak layak ke Piala Dunia, tetapi kami bersaing.” - AFP

Berita Harian X