Selasa, 19 March 2019 | 5:57pm
Kapten Bola Sepak Kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak semasa sidang akhbar Piala Air Marine 2019 di Grand Dorsett Hotel Subang Jaya. - Foto Aziah Azmee

'Di mana bangsa final'

 

PETALING JAYA: Di mana anda semua wahai 'bangsa final'? 

Demikian reaksi penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak mengenai cadangan Ultras Malaya ingin memboikot perlawanan membabitkan Harimau Malaya dalam saingan Piala Airmarine, bermula perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Sambil menghormati alasan segelintir pihak mahu memboikot Piala Airmarine, Zaquan tetap mengharapkan kehadiran penyokong sendiri dan mahu semangat patriotik sebagai keutamaan berbanding hal lain termasuk isu harga tiket.

Jika kempen untuk tidak ke stadium berjaya, kemungkinan perlawanan skuad negara dan Singapura akan berlangsung suram dan pastinya ia sesuatu cukup berbeza berbanding pertandingan Piala Suzuki AFF sebelum ini.

"Semasa Piala Suzuki AFF, timbulnya isu 'bangsa final'. Apabila sudah berlaku seperti ini (hasrat memboikot), saya sebagai wakil pemain ingin bertanya di manakah bangsa final?

"Kami juga ada maruah dan buat kerja kami untuk negara. Tetapi apabila ada ingin boikot, ia mungkin boleh menjatuhkan semangat kami. Kalau boleh datanglah ke stadium beri sokongan kepada kami kerana kami juga manusia biasa, bukannya robot.

"Namun kalau (terus) boikot atas alasan masing-masing, saya tidak boleh paksa. Masing-masing ada alasan sendiri namun kami tetap mengharapkan sokongan anda semua," katanya pada sidang media pra perlawanan, hari ini.

Pada penganjuran sulung membabitkan empat negara, Malaysia, Oman, Afghanistan dan Singapura kali ini, pihak penganjur menetapkan harga RM45 untuk tempat duduk grandstand dan RM35 untuk tempat duduk terbuka.

Menerusi muatnaik di laman sosial, Ultras Malaya sekeras-kerasnya mengutuk dan tidak akan bersetuju dengan sebarang eksploitasi ke atas skuad Harimau Malaya untuk kepentingan dan keuntungan poket pihak tertentu.

Mereka bertegas Harimau Malaya sudah dieksploitasikan di dalam kejohanan Piala Airmarine yang sengaja dicipta untuk mengambil kesempatan daripada semangat serta keinginan penyokong yang inginkan ranking skuad kebangsaan meningkat. 

 

 

6253 dibaca
Berita Harian X