Selasa, 19 March 2019 | 3:28pm
GAMBAR fail, pemain Pahang, Mohd Bunyamin Umar (kanan) mengasak pemain PKNP FC, Thomas Abbey dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, 2 Mac lalu. - Foto Abdullah Yusof

Bunyamin kian serasi  

 

KUANTAN: Pertahanan Pahang, Bunyamin Umar mengharapkan prestasi konsisten dapat dikekalkan sebaik Liga Super bersambung hujung bulan ini.  

Pemain berumur 31 tahun itu berkata, tahap keyakinannya semakin meningkat selepas membantu skuad itu mencatat kemenangan 3-0 ke atas PKNP FC dan Kedah 1-0.  

"Sebaik diberi peluang bermain dalam dua perlawanan itu, saya bertambah yakin dan memberi persembahan terbaik selepas mendapat sokongan barisan kejurulatihan dan rakan.  

"Saya berterima kasih kepada jurulatih (Dollah Salleh) kerana memberi peluang dan sebagai pemain, saya sudah melakukan yang terbaik buat pasukan," katanya.  

Pada dua perlawanan itu, Bunyamin menggantikan Muslim Ahmad yang tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan paha kiri.  

Biarpun baru disenaraikan dalam kesebelasan utama, pemain Kedah itu menyempurnakan tugas dengan baik untuk menyekat PKNP dan Kedah membolosi gawang skuad Tok Gajah.  

Bunyamin bergandingan dengan kapten pasukan, Matthew Davies, Herold Goulon dan Mohd Faisal Rosli di bahagian pertahanan.  

Bunyamin berkata, Muslim yang kembali menjalani latihan ringan bersama skuad itu diharap pulih daripada kecederaan sebelum liga bersambung.  

"Saya harap skuad Pahang akan mengekalkan prestasi untuk kedudukan terbaik dalam saingan liga," katanya.

Berita Harian X