Ahad, 17 March 2019 | 6:31pm
Tiger disenaraikan sebagai penjaga gol nombor satu skuad Penyu. - Arkib NSTP

Suffian dapat pujian Irfan

KUALA LUMPUR: Usia Mohd Suffian Abdul Rahman atau lebih mesra dipanggil 'Tiger’ dalam kalangan rakan sepasukannya kini sudah memasuki 41 tahun.

Namun kelibat penjaga gol Terengganu FC (TFC) itu bukan saja mendapat pujian peminat setia skuad itu setiap kali dia melayangkan badan menepis bola keluar dari pintu golnya, malah menarik minat jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim untuk menyenaraikannya sebagai penjaga gol nombor satu skuad penyu itu.

Ketua jurulatih TFC itu juga memberi jawatan baharu sebagai kapten kepada pemain itu menggantikan pemain Ivory Coast, Kipre Tchetche bermula pertemuan dengan Melaka United (MU) minggu lalu.  

Irfan ketika diminta mengulas prestasi penjaga gol veteran digelar 'Buffon Ganu' oleh peminat setia skuad Penyu, tanpa berselindung memuji corak persembahan pemain paling senior itu.

Jurulatih berpengalaman itu menyifatkan aksi bekas penjaga gol kebangsaan berkenaan yang mula menyarung jersi skuad TFC pada pertengahan Liga Perdana 2017 kian menjadi walaupun usianya sudah meningkat.  

Malah Irfan menyatakan pemain itu mempunyai karakter tersendiri sehingga aksinya sukar digugat tiga lagi penjaga gawang skuad penyu.

Setakat ini, daripada empat perlawanan, penjaga gol itu hanya melepaskan tiga gol ketika seri 2-2 dengan Johor Darul Ta`zim (JDT) dan seri 1-1 dengan juara Piala Malaysia musim lalu, Perak.   

"Ketika pertemuan terakhir dengan MU, dia (Suffian) bermain dengan baik, begitu juga tiga perlawanan terdahulu pemain itu memperagakan aksi memberangsangkan. Kerana itu kami memilihnya bermula perlawanan ketiga hingga aksi terakhir bertemu MU.  

"Bagaimanapun saya akui dua lagi penjaga gol iaitu Wan Azraie Wan Teh dan bekas penjaga gol Negeri Sembilan musim lalu, Mohd Ilham Amirullah Razali bukannya tidak bagus, tapi setakat ini dua pemain itu dilihat kurang memberi arahan serta mengeluarkan suara ketika mengawal pintu gol.

"Saya percaya dua penjaga gol itu serta seorang lagi penjaga gol, Shafawi Mohamad mampu menyinar jika mereka berusaha lebih keras lagi apatah lagi usia Suffian kian meningkat," kata Irfan.

Berita Harian X