Ahad, 17 March 2019 | 12:08pm
PENYERANG Juventus, Cristiano Ronaldo diberi rehat selepas berjaya mencipta sensasi meledak hatrik pada aksi Liga Juara-Juara. - Foto EPA

Juventus rehatkan Ronaldo

ROME: Cristiano Ronaldo tidak akan membuat kunjungan ke Genoa, malam ini bagi aksi Serie A selepas mencipta sensasi ketika perlawanan Liga Juara-Juara, kata pengendali Juventus Massimiliano Allegri.

Penyerang Portugal itu tampil dengan prestasi menakjubkan pada pertengahan minggu lalu apabila meledak hatrik ketika Juve menyingkirkan Atletico Madrid 3-2 secara agregat dan mara ke suku akhir kejohanan elit Eropah itu.

“Saya meninggalkannya di rumah, dia sudah mengharungi banyak perlawanan dan dia memerlukan rehat. Ketika ini ia menjadi terlalu berisiko untuk menyenaraikannya bermain,” kata Allegri.

“Saya tidak perlu untuk meyakinkannya. Kami bercakap mengenainya semalam. Saya menjelaskan tindakan saya berhubung jadual perlawanan ketika ini dan suku akhir (Liga Juara-Juara) dan dia bersetuju.”

Ronaldo turut mengundang masalah apabila mengejek penyokong Atletico selepas perlawanan tetapi Allegri berkata beliau tidak bimbang mengenai penggantungan daripada Kesatuan Bolasepak Eropah menjelang aksi dengan Ajax.

“Semua orang meraikannya dengan cara yang berbeza pada Selasa (awal pagi Rabu) lalu, ada 42,000 peminat di sini dan kamu tidak boleh menggantung mereka semua (berdasarkan bagaimana kelakuan mereka),” kata Allegri. “Kami tidak bimbang penggantungan, ia tidak akan berlaku.”

Allegri mampu untuk menggugurkan nama Ronaldo bagi memberi tumpuan terhadap Liga Juara-Juara selepas juara Itali itu memiliki kelebihan 18 mata di puncak Serie A dan tidak pernah kalah. - AFP

1038 dibaca
Berita Harian X