Sabtu, 16 March 2019 | 12:15pm
Ole Gunnar Solskjaer. - Foto AFP

'United ada kualiti julang Liga Juara-Juara'

MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer yakin Manchester United mempunyai kualiti secukupnya untuk memenangi Liga Juara-Juara tetapi mengakui ia turut bergantung terhadap tuah.

United diundi bertemu juara Sepanyol, Barcelona di peringkat suku akhir, bulan depan selepas mencipta kebangkitan menakjubkan menyingkirkan juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) di kelompok 16 terbaik. 

Solskjaer menjaringkan gol kemenangan dramatik United pada final Liga Juara-Juara 1999 apabila kelab itu bangkit meledak dua gol pada masa kecederaan untuk menewaskan Bayern Munich sekali gus muncul juara Eropah buat kali kedua.

United yang memenangi trofi keagungan itu buat pertama kali pada 1968 sekali lagi menjulang kejayaan sama pada 2008 dengan menewaskan Chelsea menerusi penentuan penalti. Pada 2011, mereka layak ke final tetapi tewas 1-3 kepada Barcelona.

Solskjaer juga sedar skuad kendaliannya memperoleh manfaat daripada keputusan yang memihak mereka ketika menewaskan PSG 3-1 di gelanggang lawan dengan Marcus Rashford menjaringkan gol penting menerusi penalti yang dianugerahkan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) pada minit-minit akhir permainan.

Justeru, pengendali sementara itu sedar United mengharungi situasi yang hampir sama untuk memenangi Liga Juara-Juara 20 tahun lalu apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menyingkirkan Juventus di separuh akhir sebelum menewaskan Bayern di final.

“Saya fikir kami menunjukkannya ketika menentang PSG yang ada harinya kami boleh menewaskan pasukan terbaik,” kata Solskjaer yang mengubah nasib malang United ketika dikendalikan Jose Mourinho.

“Begitupun sekali lagi, ada begitu banyak pemboleh ubah dan perlawanan seperti ini boleh ditentukan dengan margin yang kecil.

“Dan sudah tentu dengan keputusan VAR, sekali lagi saya ia adalah penalti, kamu boleh bernasib malang dan tidak mendapatkannya pada minit-minit terakhir permainan dan kemudian terkeluar dan tiada siapapun mengimbas prestasi PSG.

“Jadi ya, kami boleh mara sehingga penghujung tetapi kamu memerlukan tuah sepanjang perjalanan.” - AFP

Berita Harian X